Mohd Hashim Abdullah

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia mengenalpasti seramai 37,935 orang akan bertugas membantu mengendalikan proses Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) bagi negeri Selangor kali ini.

Menurut Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah, jumlah itu melibatkan Pegawai Pengurus 22 orang, Penolong Pegawai Pengurus (100 orang), pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya (336 orang) dan petugas (30,360 orang).

Katanya, ia juga turut melibatkan 1,648 petugas Pejabat Pegawai Pengurus dan seramai 4,537 petugas beruniform seperti polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia, manakala kerani, pemandu serta lain-lain petugas seramai 932 orang.

“Bilangan petugas ini adalah untuk proses pilihan raya ke-14 bagi negeri Selangor yang kita telah kenal pasti sehingga 20 Jun 2017 lalu.

“Saya berharap semua Pegawai Pengurus dan Penolong Pegawai Pengurus dapat memberi penekanan kepada petugas pilihan raya di bawah seliaan masing-masing untuk memberikan komitmen sepenuhnya dalam menjayakan PRU kali ini,” katanya di sini semalam.

Sehubungan itu, Mohd Hashim meminta pihak berkenaan menjadualkan semula segala program yang telah dirancang bagi memberi laluan kepada pelaksanaan pilihan raya.

Beliau turut menyenaraikan tempat sesuai di seluruh Selangor untuk digunakan bagi urusan proses pilihan raya iaitu Sekolah Kebangsaan 359 buah dan Sekolah Menengah Kebangsaan sebanyak 162 buah.

Manakala Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (88 buah), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (48 buah), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (10 buah), institut pengajian tinggi (empat), dewan balai raya, tadika, mini stadium dan kompleks sukan sebanyak 224 buah.

“Jumlah pusat mengundi pula sebanyak 895 dengan jumlah tempat mengundi mengikut saluran sebanyak 4,386,” katanya. – MalaysiaGazette