KUALA LUMPUR:

“Kompang dipalu pengantin baru,
Duduk bersanding style alaf baru,
Kompang dipalu pengantin malu,
Moga bahagia ke anak cucu.”

Demikian antara pantun yang digunakan oleh pengendali akaun Facebook Rapid KL sebagai teguran kepada pengguna perkhidmatan mereka.

Menerusi sebuah gambar yang dimuat naik ke laman Facebook Rapid KL, terdapat dua pengguna perkhidmatan tren Rapid yang duduk di kerusi tren tersebut tanpa mempedulikan pengguna lain.

Lalu, pantun tersebut digunakan sebagai teguran secara sinis kepada mereka dan pengguna lain agar peka dengan pengguna-pengguna yang lain.

Selain pantun, teguran tersebut juga turut disampaikan melalui tag ‘kesedaran sivik untuk semua’, ‘satu orang satu kerusi’, dan ‘till jannah’.

Pengendali laman sosial RapidKL juga bijak menggunakan pelbagai hastag yang jika diamati sarat dengan nasihat dan panduan.

#jangankatakamitakpayung
#kemudahanawamhakmilikbersama
#kamitahuandamampumengubahnya

Selain pantun dan hastag, bait lirik daripada lagu yang viral dinyanyikan oleh pengusaha kosmetik, Datuk Hasmizah Othman, turut digunakan sebagai teguran kepada pengguna.

“Come to me, sayang sayang sayang.
Say with me, sayang sayang sayang.
Please don’t sleep, sayang sayang sayang.
On MRT, sayang sayang sayang.”

Satu lagi teguran kepada penumpang:

“Kehadapan semua penumpang yang dikasihi (SEKIRANYA MASIH BELUM TAHU), beg plastik tidak memerlukan tempat duduk khas di dalam tren. Berikan tempat duduk kosong itu kepada yang lebih memerlukan. Pesanan khidmat masyarakat penuh kasih sayang ini dibawakan oleh Admin, Rapid KL,” kata pengendali.

#spreadthelove #wesharebecausewecare

Fatah Amin dan juga Fazura,
Pelakon pujaan ramai sekarang,
Wahai kakak yang sedang bergembira,
Makan dan minum dilarang ye sayang.

#gentlereminder #nasihatdulunantisiaplaa

Bagi setiap komen atau maklum balas yang diberikan oleh netizen, pihak Rapid KL dengan pantas memberikan jawapan susulan – menjadikan perbualan dan perbincangan santai berkenaan teguran itu menjadi panjang.

Berikutan teguran itu, pelbagai reaksi daripada orang awam, termasuk yang memuji cara dan pendekatan pengendali akaun Facebook Rapid KL yang dilihat kreatif dan ‘nakal.’

Namun, terdapat juga pengguna yang mahu menggunakan pendekatan sama sebagai aduan kepada Rapid KL sekiranya terdapat masalah berkenaan syarikat tersebut dengan memuat naik gambar – untuk penambahbaikan perkhidmatan mereka.

“Kalau macam ni admin troll penumpang, saya pun akan ambil gamabr segala kemudahan yang bermasalah supaya Rapid KL pantas menambah baik,” kata seorang pengguna Facebook.

Justeru, sikap kebanyakan pengguna yang masih gagal memahami seterusnya mengikut panduan yang disediakan pada perkhidmatan awam, memberikan satu tugasan baru kepada pekerja syarikat-syarikat pengendali, iaitu mendidik pengguna dengan caranya yang santai dan menghiburkan. – MalaysiaGazette