KUALA LUMPUR – Penyanyi Yuna selamat mengikat tali pertunangan dengan Adam Sinclair yang merupakan adik kepada pelakon Ashraf Sinclair di sini hari ini.

Majlis pertunangan Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Mat Zara’ai dengan Adam yang juga seorang penerbit itu berlangsung sederhana di rumah penyanyi itu di Shah Alam.

Majlis yang dihadiri keluarga terdekat dan sahabat rapat sahaja menyaksian ibu Adam, Khadijah Abdul Rahman menyarung cincin kepada Yuna.

Yuna, 30, dan Adam, 32, mula mengenali sebagai kawan biasan pada tahun 2013 di set rakaman untuk iklan televisyen.

Pada akhir 2015, hubungan mereka menjadi serius apabila merancang untuk berkahwin apabila Yuna membawa Adam berjumpa ibu bapanya.

Justeru, majlis merisik telah berlangsung pada 27 Mac lalu.

Yuna dalam satu kenyataan media melahirkan rasa syukur majlis pertunangan mereka berjalan dengan lancar.

“Majlis kami dihadiri oleh keluarga terdekat dan rakan-rakan karib. Kami sekeluarga sangat gembira dapat berjumpa dan bermesra dengan seluruh keluarga Adam.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada peminat-peminat yang selalu mendoakan kebahagiaan saya. Berkat doa mereka, hari ini saya selamat bertunang dengan Adam Sinclair,” katanya.

Yuna juga menyifatkan pertunangan dengan Adam merupakan momen yang sangat manis bagi saya kerana ia langkah pertama kami untuk hidup bersama.

“Saya sangat bersyukur berjumpa dengan seorang yang sangat penyayang dan baik hati seperti Adam. Percaturan Allah itu memang sungguh indah, Adam merupakan rakan karib saya dan sepanjang perkenalan kami dia telah mewarnai hidup saya dan buat saya senyum dan ketawa, saya gembira akan bergelar isteri kepadanya satu hari nanti, Insya Allah,” kata Yuna yang anggun mengenakan persalinan rekaan pereka fesyen terkenal, Hatta Dolmat.

Sementara itu, spekulasi mengenai percintaan pasangan terbabit hangat diperkatakan sejak September 2015 apabila gambar Yuna bersama Adam dan abangnya, Ashraf berserta isteri beliau, Bunga Citra Lestari, bercuti di Los Angeles, California, tersebar.

Namun begitu, tiada sebarang pengakuan dibuat oleh mereka bagi mengesahkan gosip berkenaan sebelum ini. – MalaysiaGazette