Illayaraaja bersama Shahul Hameed Dawood (tiga dari kiri), Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan dan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan di pada Majlis pelancaran Tiket Raaja-The Oneman Show Live in Concert KL 2017 di Little India Brickfields, Kuala Lumpur pada 5 Ogos 2017 hari ini. foto: MyEventsInternational.

KUALA LUMPUR – Maestro Ilayaraaja bakal menemui peminatnya menerusi Raaja-The Oneman Show Live in Concert 2017 pada 7 Oktober ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan My Events International Bhd., Shahul Hameed Dawood berkata, pihaknya gembira dapat membawa pemuzik yang diminati setiap peringkat umur masyarakat India itu ke negara ini untuk membuat persembahan terbesar.

“Jika empat tahun lalu, beliau sepatutnya menghiburkan kira-kira 10,000 menerusi konsertnya ‘King Of Kings’ tetapi faktor kesihatan menyebabkan beliau membatalkan kehadirannya atas nasihat doktor.

“Sejak 2014 lalu, My Events telah memulakan misi dan usaha untuk memastikan Illayaraaja muncul ke Malaysia secepat mungkin seperti yang kami janjikan kepada peminat tempatan di sini.

“Kini saya bersyukur kepada Allah kerana segala usaha kami untuk membawa lagenda muzik dari India ini akhirnya membuahkan hasil. Saya tak dapat bayangkan dapat berdiri di sebelah beliau hari ini,” katanya pada majlis pelancaran tiket Raaja-The Oneman Show Live in Concert 2017 di Little India Brickfields di sini.

Turut hadir ke majlis ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan dan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan.

My Events International Sdn Bhd merupakan penganjur konsert tersebut.

Shahul berkata, beliau menjangka 15,000 peminat akan hadir di Axiata Arena,  Bukit Jalil pada hari tersebut.

Lebih 60 ahli kumpulan orkestra dan penyanyi dari India akan mengiringi Ilararaaja pada konsert tersebut.

Katanya beliau juga gembira My Events menjadi syarikat pertama di Malaysia yang membawa Illayaraaja ke negara ini.

“Belum pun konsert bermula tetapi sudah melegar dalam fikiran saya untuk memastikan lebih banyak aktiviti muzik Illayaraaja untuk dianjurkan di negara ini pada masa akan datang,” katanya dengan diikuti sorakan dan tepukan gemuruh peminat Illayaraaja yang berkumpul di situ.

Menyentuh mengenai tiket konsert tersebut, Shahul berkata orang ramai boleh mendapatkan maklumat menerusi Facebook @kingofkingskl, MyEventsInternational di Facebook dan laman sesawang myevents.com.my bermula 11 Ogos ini. – MalaysiaGazette