Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz Malay Peninsular Malays Indians Orang Asli Chinese MRL Malay Reserve Land
Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz

PUTRAJAYA – Institusi beraja yang diamalkan di negara ini boleh menjadi rujukan utama dalam menangani isu kepelbagaian yang ekstrem.

Pensyarah Kuliyyah Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Dr Shamrahayu Ab. Aziz berkata, ia boleh mengimbangi antara tradisi dan modenisasi dalam menghadapi cabaran-cabaran hebat menerusi gelombang globalisasi yang berkaitan dengan hak asasi.

Menurutnya, kewibawaan institusi beraja itu sangat penting untuk ditonjolkan kepada warga Malaysia kerana ia boleh membantu menyemai perasaan cinta terhadap negara.

“Ramai pada masa ini yang mempertikai institusi beraja hingga ada yang kata ia tidak memenuhi ekspektasi sebagaimana yang diamanahkan dalam Perlembagaan.

“Integriti serta kebijaksanaan dalam institusi beraja itu perlu ditonjolkan agar rakyat berbilang kaum di negara ini akan terus menghormatinya,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui pada sesi penyampaian dan dialog sempena Konvensyen Memperkukuhkan Pasak Negara: Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat di sini.

Mengulas lanjut Shamrahayu menjelaskan, integriti beraja pada masa ini dilihat semakin tipis selepas 60 tahun negara mengecapi kemerdekaan.

Katanya, ia mungkin disebabkan sistem demokrasi yang disandarkan semata-mata kepada demokrasi tanpa mengambil kira elemen asal dalam sejarah menyebabkan rakyat tidak boleh menghargai perkara-perkara tradisi.

Mengambil contoh sejarah negara terhadap bagaimaan institusi beraja berjaya mengangkat orang-orang Melayu semasa penjajahan British beliau berkata, persidangan bubar Majlis Raja-Raja yang diadakan pada masa itu berjaya mengekalkan kedudukan orang Melayu dan Islam.

Katanya, walaupun British itu merupakjan penjajah yang datag untuk mengambil pentadbiran negara kita secara keseluruhan tetapi mereka tidak mampu untuk menghapuskan institusi beraja di negara ini.

“Raja-Raja Melayu masih lagi berwibawa menjaga kepentingan Melayu, sampai merdeka kita berjaya adakan tanah rezab Melayu.

“Kita mahu pastikan rezab Melayu itu dijaga oleh Perlembagaan dan mempastikan bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi kebangsaana. Jadi kewibawaan raja itu sudah terserlah dan jelas dalam sejarah negara,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap dengan adanya konvensyen tersebut ia akan menjadi pasak kepada kestabilan sistem beraja yang harmoni di negara ini. – MalaysiaGazette