Kongsi
Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor. foto AFFAN FAUZI, 6 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) perlu merampas semula sekurang-kurangnya lima kerusi Parlimen di Wilayah Persekutan yang kini dikuasai pembangkang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, antara dua daripada lima kerusi tersebut yang menjadi keutamaan adalah Parlimen Wangsa Maju dan Lembah Pantai.

Menurutnya, ini kerana pembangunan yang dibuat di wilayah berkenaan selama ini dilaksanakan oleh BN dan bukan daripada pembangkang.

“Ahli Parlimen (pembangkang) ini hanya cakap-cakap, bohong-bohong, fitnah sana fitnah sini tapi kerja tak buat. lihat sahaja dalam wangsa maju ini, tanpa BN dah tentu rakyat wangsa maju ini akan ketinggalan,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Wangsa Maju di sini hari ini.

Tengku Adnan berkata, beliau mengharapkan agar usaha untuk merampas kerusi itu dilakukan oleh jentera di semua peringkat bahagian dan cawangan.

“Saya nak mintak, tolonglah kerja kuat.

“Kalau kita biarkan apa yang dibuat oleh puak-puak pembangkang ini, percayalah perjuangan kita selama ini akan jadi sia-sia.

“Saya takut besok bila anak-anak kita besar, cucu cicit kita besar, dia pergi ke kubur kita, dia kencing di kubur kita.

“Dia kata apalah tok (datuk) aku ini, berjuang apa. Aku hidup sengsara. Itu sebab UMNO perlu dipertahankan demi agama bangsa dan negara,” ujarnya.

Untuk rekod sebanyak sembilan kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan dikuasai pembangkang.

Antara Parlimen tersebut iaitu, Kepong, Batu, Wangsa Maju, Segambut, Bukit Bintang, Lembah Pantai, Seputeh, Cheras dan Bandar Tun Razak.

BN hanya memenangi dua kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan pada pilihan raya umum (PRU) iaitu di Parlimen Setiawang dan Titiwangsa – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan