Kumpulan nasyid dari luar negara, Rabitah An Nur dari Syria membuat persembahan pada majlis 1st World SAMA Fest di Plenary Hall, PICC Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 28 JULAI 2017

PUTRAJAYA – Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC) malam minggu lalu bergema bacaan Al Quran, selawat, qasidah, nasyid dan naat yang mengandungi nasihat-nasihat agama dan pujian terhadap Allah dan Rasulullah.

Semuanya kerana persembahan hampir tiga jam itu sempena 1st World Sama’ Fest.

Majlis itu dianjurkan oleh Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (Pertama) bagi mencetus kebangkitan peradaban Islam daripada sudut hiburan yang menepati syarak.

1st World Sama’ Fest merupakan sebahagian daripada komponen Haflah Zikir Perdana Sedunia 2017 yang disifatkan sebagai pertama kali dianjurkan di dunia mengikut garis panduan syarak yang ketat.

Acara ini telah mengumpulkan persembahan-persembahan dari beberapa benua sebagai satu tanda perpaduan Ummah selain cinta kepada Allah dan Rasulullah bersesuaian dengan tema, Unity In Love.

Persembahan dimulakan dengan alunan bacaan Al Quran yang menampilkan pelajar pintar dari Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab, Melaka sebelum diserikan lagi dengan persembahan beberapa artis tempatan antaranya Johan As’ari bersama kumpulan Suara Pertama.

Kumpulan Raihan pula hadir dengan persembahan nasyid Ya Rasulullah serta penampilan istimewa Datuk Hattan mengalunkan lagu Mahligai Syahdu dan Datuk Nash dengan lagu Selimut Putih penuh perasaan.

Penonton dari pelbagai negara khusyuk mendengar alunan nasyid dan qasidah dari perserta yang mengambil bahagian.

Peserta dari luar negara pula adalah Khalwati Ushaqqi (Turki), Nur Muhammadi (Morocco), Hassan Khurshid (Pakistan) Rabitah An Nur (Syria) dan Chicago Mawleed Committe (USA) turut memberi persembahan memukau. – MalaysiaGazette