Ng Chek Siang
PULAU PINANG – Akar umbi PKR Pulau Pinang telah menghantar surat tuntutan kepada pusat meminta semua jawatan politik peringkat negeri yang tidak dirundingkan ditarik balik.
Ketua Cabang PKR Tanjung, Ng Chek Siang berkata, pemimpin akar umbi berasa tidak puas hati dengan kepimpinan negeri yang membuat keputusan tanpa rundingan yakni bertentangan dengan perlembagaan parti.
“Untuk jawatan politik yang penting seperti ahli majlis, syarikat milik kerajaan (GLC) hinggalah jawatan Pakatan Harapan Pulau Pinang baru-baru ini, pelantikan untuk jawatan ini dilakukan tanpa melalui rundingan dalam jawatankuasa majlis kepimpinan negeri,” katanya kepada Kwong Wah Yit Poh.
Beliau berkata, apa yang berlaku bertentangan dengan perlembagaan parti yang menyatakan bahawa sebarang keputusan harus dibuat melalui perbincangan dalam peringkat jawatankuasa majlis kepimpinan negeri.
Menurutnya, keputusan mengenai jawatan politik pada masa ini bagaimanapun telah dibuat oleh biro politik negeri dan bukannya jawatankuasa majlis kepimpinan negeri.
“Biro politik adalah dikuasai Pengerusi PKR Pulau Pulau, Datuk Mansor Osman dan beberapa pemimpin lain.
“Oleh itu, semua keputusan penting telah dibuat oleh mereka dan secara langsung meremehkan peranan jawatankuasa majlis kepimpinan negeri,” katanya.
Chek Siang berkata, prosedur yang melanggar perlembagaan parti merupakan perkara serius yang boleh menjatuhkan parti.
Keadaan itu, menurutnya, juga mendorong dua surat tuntutan dihantar kepada PKR pusat bagi membangkitkan isu itu.
“Malangnya kami tidak menerima apa-apa maklum balas setakat ini. Kami akan terus mengambil tindakan susulan,” katanya.
Surat tuntutan berkenaan mendapat tandatangan 122 ahli PKR Pulau Pinang termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, Dr. T. Jayabalan. – MalaysiaGazette