Tang Mei Feng menunjukkan piala-piala yang dimenangi dalam pertandingan makan. ‎Wanita 58 kg yang makan 10 mangkuk nasi setiap sajian

MELAKA – Tang Mei Feng yang mempunyai berat badan 58 kilogram (kg) berjaya menjuarai pelbagai pertandingan makan termasuk pertandingan makanan pedas Singapura baru-baru ini.

Ibu kepada dua anak itu berkata, dia bukan peminat pertandingan makan atau menggilakan gelaran juara makan, tetapi sekadar mahu menjimatkan duit dapur.

Dengan ketinggian 170 sentimeter dan berat 58 kg, Mei Feng bukan seorang yang berbadan gempal, tetapi dia mempunyai selera makan yang luar biasa dan perlu menghabiskan 10 mangkuk nasi dalam setiap sajian untuk berasa kenyang.

Menurutnya lagi, dia mampu menghabiskan empat bungkus beras seberat 10 kg hanya dalam tempoh sebulan.

Keadaan itu, menurut Mei Feng, menyebabkan dia perlu berjimat dan merancang perbelanjaan supaya keluarganya tidak ‘muflis’ hanya kerana selera makannya yang luar biasa.

Mei Feng yang bekerja sambilan sebagai mak andam dan jurugambar berkata, dia mempunyai selera makan yang lebih besar berbanding gadis lain sejak zaman sekolah menengah lagi iaitu perlu mengambil dua hingga tiga mangkuk nasi untuk setiap sajian.

Namun selera makannya bertambah lagi kerana dimanjakan suami yang mengizinkan dia makan apa jua kerana bimbang dia kelaparan.

“Tanpa disedari, saya mengambil makanan yang semakin banyak sehingga perlu makan 10 mangkuk nasi setiap sajian untuk merasa kekenyangan.

“Suami juga tidak pernah menghalang saya makan,” katanya kepada Sinchew Daily.

Untuk menjimatkan kos dapur, Mei Feng biasanya akan memasak di rumah dan dia gemar memasak lauk yang banyak kuah kerana ia boleh dicampurkan dengan nasi.

Selain memilih untuk membeli-belah di pasar raya yang mempunyai promosi dan jualan, Mei Feng menyertai pertandingan makan sebagai cara menjimat kos dapur.

Setakat ini, Mei Feng telah menyertai pelbagai pertandingan makan membabitkan burger, nasi, makanan pedas dan roti bersosej.

Mei Feng yang sedar diri terlebih makan melakukan pemeriksaan kesihatan berkala dan hasilnya menunjukkan dia dalam keadaan sihat melainkan mengalami tanda gula darah yang rendah.

“Sebab itu saya perlu pastikan diri kenyang, kalau tidak saya akan rasa pening,” katanya.

Mei Feng berkata, dia menyedari bahawa badannya akan memberi isyarat dalam bentuk sakit belakang dan perut kembung apabila dia makan sehingga terlalu kenyang.

“Pernah seketika saya menghabiskan 20 mangkuk nasi kerana terlalu lapar pada masa itu. Akibatnya, saya betul-betul merasakan sakit akibat perut kembung,” katanya. – MalaysiaGazette