Noor Hisham Abdullah, KP Kesihatan, Thanabalan mati di lokap
Dr. Noor Hisham Abdullah
PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan pada masa ini tidak bercadang mengeluarkan amaran untuk perjalanan ke Hong Kong walaupun berlaku wabak selesema di wilayah China itu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga tidak mengeluarkan amaran berkenaan.
Beliau bagaimanapun berkata, saringan tetap dijalankan di lapangan terbang antarabangsa untuk mengesan dan memeriksa penumpang yang mempunyai tanda-tanda demam dan selesema.
“Memandangkan kemudahan saringan sudah ada, maka ia dapat mengesan penumpang dengan tanda-tanda demam yang memasuki negara ini dari Hong Kong,” katanya kepada Sinchew Daily.
Noor Hisham berkata, setakat ini tiada negara yang mengeluarkan amaran lawatan ke Hong Kong yang merupakan destinasi pelancongan terkenal.
Menurutnya, pelancong ke Hong Kong perlu mengambil langkah berjaga-jaga seperti memakai topeng penutup mulut, kerap mencuci tangan serta mengelakkan kawasan tumpuan ramai.
Katanya lagi, mereka yang mengalami tanda-tanda selesema tiga hari selepas kembali dari Hong Kong perlu mendapatkan rawatan dengan segera.
Beliau bagaimanapun berkata, keadaan di Hong Kong adalah terkawal dan orang ramai tidak perlu panik mengenainya.