Tan Sri Noh Omar

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan hanya meluluskan golongan yang berpendapatan bawah RM2,500 sebulan untuk memiliki kediaman menerusi kaedah Rent To Own (RTO) atau sewa dan milik.

Bagaimanapun, menurut menterinya, Tan Sri Noh Omar, sebelum layak membeli rumah itu, mereka perlu melalui dua tapisan kelayakan iaitu Lembaga Perumahan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Katanya, tujuan tapisan kedua melalui LHDN ialah bagi memastikan pemohon berkenaan tidak pernah membeli atau memiliki rumah sendiri sebelum ini.

“Sebelum ini kita tawar secara terus. Sekarang kita buat pembaharuan iaitu pemohon perlu melalui dua tapisan yang ketat.

“Kalau dulu hanya melalui tapisan Lembaga Perumahan sahaja, sekarang ini kita akan rujuk kepada LHDN untuk memastikan mereka yang memohon ini tidak pernah membeli rumah,” katanya di sini, semalam.

Menurut Noh, latar belakang pemohon juga akan disemak, sama ada mereka penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) atau tidak.

“Kalau mereka tidak ada dalam senarai penerima BR1M, kita akan tolak. Kalau mereka sudah ada bukti LHDN ada beli rumah, memang ada bukti, kita juga akan tolak.

“Kemudian, sebelum kita tawarkan kepada mereka yang layak setelah lepas dua tapisan itu, kita pamer pula nama mereka ini untuk orang ramai melihat dalam tempoh dua minggu bagi tujuan bantahan,” ujarnya.

Beliau memberi contoh, seperti yang berlaku di Hulu Selangor, apabila namanya dipamerkan walaupun sudah melalui dua tapisan, tetapi ada bantahan dibuat dan apabila disemak, bantahan itu memang betul, maka permohonnanya terpaksa ditolak.

Ini katanya, menunjukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) akan menjalankan dengan telus proses pemilikan rumah sewa dan beli kerana ia adalah hak orang miskin.

Kata Noh, kerajaan menyediakan subsidi lebih RM150,000 untuk satu unit rumah itu dan kementeriannya hanya akan memastikan mereka yang layak sahaja akan menerima faedah pembelian rumah RTO. – MalaysiaGazette