Bapa Bolasepak Johor, Allahyarham Datuk Suleiman Mohd Noor.

KUALA LUMPUR – Dunia sukan bola sepak Johor kehilangan ikonnya apabla Datuk Suleiman Mohd Noor, 88, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar KPJ, malam tadi.

Berita kematian bekas Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) yang turut digelar Bapa Bolasepak Johor disahkan oleh Johor Southern Tigers menerusi laman Facebook.

“Kami ingin mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Suleiman Mohd Noor, Bapa Bolasepak Johor yang telah meninggal dunia sebentar tadi.

“Semoga dicucuri rahmat ke atas roh Allahyarham. Al-Fatihah,” menurut laman sosial rasmi JDT itu. Allahyarham difahamkan meninggal dunia pada 7.50 malam ketika menerima rawatan dialisis di hospital berkenaan.

Pada 1991, skuad bola sepak Johor menjadi pasukan pertama yang melakar gelaran berganda setelah memenangi Piala Malaysia dan Juara Liga di bawah pengurusan Allahyarham.

Allahyarham juga pernah diberi penghormatan merasmikan pusat latihan tertutup JDT yang dinamakan Pusat Latihan Tertutup Datuk Suleiman Mohd Noor di Padang Seri Gelam, Johor Bahru bagi menghargai jasanya dengan skuad Johor pada April tahun lalu. – MalaysiaGazette