Najib Razak. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan akan terus memajukan Malaysia dan menjadikan negara ini yang terbaik untuk rakyat.

Perdana Menteri berkata, Kerajaan Barisan Nasional tidak perlu menjadi kerajaan populis untuk meraih sokongan semata-mata, sebaliknya membuktikan kemampuan kerajaan melalui prestasi.

Menurut beliau, sejak melancarkan Program Transformasi Ekonomi pada tahun 2010, Pendapatan Negara Kasar (PNK) melonjak hampir 51.8 peratus dan PNK menggunakan pendekatan Atlas meningkat kepada AS$9,850.

Malaysia juga telah mengurangkan jurang sasaran pendapatan tinggi daripada 38 peratus kepada 19 peratus dan mewujudkan 2.26 juta pekerjaan yang mewakili 69 peratus daripada 3.3 juta sasaran yang akan dicapai pada tahun 2020.

Katanya, Bank Dunia dan Tabung Dana Antarabangsa juga telah meningkatkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia pada tahun ini kepada hampir 5.0 peratus.

“Tiada satu pun daripada ini berlaku secara kebetulan. Kita telah merancang. Dan perancangan ini telah dilaksanakan dan akan terus dilaksanakan,” katanya yang berjanji untuk terus melakukan dan melunaskan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ekonomi Forum 2017 anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustri Kebangsaan Malaysia (NCCIM) di sini hari ini.

Najib mengulangi kenyataannya bahawa bukan mudah untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi minyak dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Tetapi dengan pendekatan itu, kerajaan memperkasakan semula kedudukan fiskal dengan asas pendapatan yang lebih luas dan mengurangkan kebergantungan kepada minyak dan gas sebanyak 41 peratus dalam hasil kerajaan pada tahun 2009 kepada 14 peratus pada hari ini.

“Apakah nasib kita pada hari ini jika negara masih bergantung kepada 41 peratus pendapatan minyak dan gas ketika harga bahan api itu berlegar pada harga AS$25 hingga AS$40 setong?

“Ada ahli politik yang mahu memansuhkan GST tetapi tidak mempunyai jawapan bagaimana mereka mahu mencari sebanyak RM41 bilion dalam pendapatan yang telah disumbangkan oleh GST pada tahun lalu.

“Mereka ini penipu dan menyebarkan penipuan atas alasan politik. Mereka tidak melakukan kebaikan sebagai rakyat Malaysia,” kata Najib.

Tetapi, kerajaan akan terus melaksanakan pembaharuan yang diiktiraf oleh pakar-pakar dunia demi berkhidmat kepada rakyat dan memastikan destinasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi.

Ini termasuk mengalu-alukan pelaburan asing dari seluruh dunia termasuk China, Jepun, India, Arab Saudi, Eropah dan Amerika, selari dengan kedudukan Malaysia yang terbuka, mesra dan kondusif perniagaan.

Biarpun begitu, kerajaan sama sekali tidak akan berkompromi dengan kedaulatan negara dan menjadi tanggungjawab melindungi kepentingan negara dan perniagaan domestik. – MalaysiaGazette