Ketua Pemuda UMNO Kelana Jaya, Maisham Bin Maarof bercakap pada sidang media bagi meyelesaikan pertikaian kontrak antara UNISEL dan Jana Niaga Sdn Bhd di Pejabat SPRM, Wisma PKPS, Shah Alam. foto AFFAN FAUZI, 8 OGOS 2017

SHAH ALAM – Pemuda UMNO Bahagian Kelana Jaya mendakwa terdapat banyak keraguan berhubung proses pembayaran oleh Menteri Besar Incorporated (MBI) kepada Jana Niaga Sdn. Bhd. (JNSB) bagi penyelesaian tunggakan Universiti Selangor (Unisel).

Ketuanya, Maisham Maarof berkata, berdasarkan dokumen pembayaran yang didedahkan sebuah laman sesawang Selangor-Leaks.com, pihaknya mendapati ada keraguan yang menjurus ke arah penyalahgunaan kuasa.

Menurut beliau, laman sesawang itu mendedahkan MBI telah membuat bayaran sebanyak RM10 juta kepada JNSB pada 9 Mac 2015 dan RM6 juta lagi pada 24 Jun 2016.

“Bayaran itu dibuat kononnya atas sebab-sebab penyelesaian tunggakan hutang Unisel. Ini jelas meragukan,” katanya kepada media di pekarangan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Shah Alam di sini, hari ini.

Beliau bersama barisan kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO Selangor dan wakil badan-badan bukan kerajaan (NGO) Selangor hadir ke pejabat SPRM untuk membuat laporan ke atas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Jelas Maisham, Pemuda UMNO merasakan ragu atas pembayaran itu kerana perjanjian antara JNSB dan Unisel telah ditamatkan oleh universiti itu pada September dan November 2013 kerana JNSB telah melanggar terma penting perjanjian antara keduanya.

“Unisel membatalkan perjanjian itu berikutan wujud kecacatan dalam pembinaan bangunan asrama oleh JNSB sehingga membahayakan keselamatan pelajar Unisel.

“JNSB juga enggan memperbaiki kecacatan bangunan itu walaupun diminta berulang kali oleh pengurusan Unisel.

“Akibatnya, Unisel terpaksa menanggung kos dan perbelanjaan untuk memperbaiki kecacatan bangunan (asrama) tersebut yang berjumlah kira-kira RM60 juta,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan perjanjian antara Unisel dengan JNSB, syarikat itu perlu membayar balik apa-apa perbelanjaan dan kos yang ditanggung berjumlah RM60, tetapi ia tidak dipatuhi syarikat berkenaan.

Malah, ujar beliau, JNSB yang membuat tuntutan terhadap Unisel walaupun perjanjian itu telah ditamatkan.

“Unisel turut menafikan pihaknya berhutang apa-apa kepada JNSB. Bahkan, peguam Unisel juga telah menasihatkan kes Unisel terhadap JNSB adalah kukuh dan pihak universiti itu tidak perlu membayar kepada JNSB.

“Justeru, tidak ada apa-apa sebab munasabah mengapa MBI perlu membayar tunggakan kepada JNSB, memandangkan JSNB berhutang sebanyak RM60 juta kepada Unisel,” katanya.

Maisham juga mendakwa, bayaran itu dikatakan amat meragukan kerana ia dibuat tanpa persetujuan Presiden dan Naib Presiden Unisel.

“Tambahan lagi, agak tidak masuk akal apabila MBI mahu Unisel menerima JNSB sebagai syarikat konsesi yang menguruskan penyelenggaraan di universiti itu dengan Unisel perlu membayar berjuta ringgit kepada JNSB di bawah kontrak penyelenggaraan yang baharu.

“Ini adalah amat tidak masuk akal sekali kerana JNSB tidak menunaikan tanggungjawabnya di bawah perjanjian sebelum ini dan masih lagi berhutang RM60 juta kepada Unisel,” ujar beliau yang mengesyaki wujud unsur subahat pihak tertentu dalam kes itu. – MalaysiaGazette

Comments are closed.