Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah Jabatan Imigresen Malaysia di Ibu Pejabat Imigresen Malaysia, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 08 OGOS 2017.

PUTRAJAYA – Semua jabatan kerajaan diingat agar memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam segala urusan permohonan sebagai usaha membendung gejala rasuah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid Hamidi berkata, penggunaan sistem dalam talian juga mampu memberi keselesaan dalam perkhidmatan kepada rakyat selain memudahkan urusan.

“Gunakan teknologi permohonan atas talian, permudahkan permohonan, percepatkan kelulusan dan beri perkhidmatan terbaik kepada mereka agar persepsi daripada rakyat meningkat dan rasuah dapat diatasi,” katanya ketika berucap pada majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Jabatan Imigresen di sini hari ini.

Bacaan ikrar oleh kakitangan Jabatan Imigresen diketuai Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali dan turut disaksikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata, beliau gembira melihat komitmen anggota imigresen untuk terus bersikap bersih daripada amalan rasuah dan berharap orang ramai menaruh keyakinan terhadap jabatan itu.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Zahid mengisytiharkan dirinya bebas dari sebarang bentuk rasuah.

Beliau mengakui bukan mudah untuk menterjemahkan sikap itu untuk diri sendiri dan “anak-anak buahnya” untuk bebas daripada rasuah.

“Bukan mudah. Ia boleh dilakukan jika kita ada pegangan yang tinggi,” ujarnya. – MalaysiaGazette