Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melihat surat lafaz ikrar bersama Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki (dua kanan) dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed (tiga kanan) sambil diperhatikan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Mustafa Ali (kiri) pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah Jabatan Imigresen Malaysia di Ibu Pejabat Imigresen Malaysia, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 08 OGOS 2017.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu meneliti terlebih dahulu sebelum menyiasat dakwaan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dikatakan mempunyai wang sebanyak RM230 juta dalam akaun banknya pada 1996.

Perkara sama juga akan dilakukan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga dikatakan mempunyai kekayaan luar biasa.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, penelitian itu bertujuan memastikan tuduhan terhadap dua individu berkenaan mempunyai unsur rasuah.

“Banyak dakwaan tentang orang hidup mewah, banyak duit. Tetapi, yang penting kita kena lihat sama ada ia ada unsur rasuah atau tidak.

“Jadi, kalau nak tuduh seseorang banyak harta, belum tentu itu punca daripada rasuah. Itu jawapan saya setakat ini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis Ikrar Bebas Rasuah di Jabatan Imigresen, di sini hari ini.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) minggu lalu mengakui tiada bukti hitam putih berhubung dakwaan beliau bahawa Zahid memiliki wang berjumlah RM230 juta dalam akaun banknya.

Dakwaan Mahathir itu adalah ketika Zahid dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia pada 1996.

Dalam pada masa sama Ahmad Zahid turut meminta SPRM menyiasat kekayaan Dr Mahathir dan anaknya.

Dalam pada itu Azam menjelaskan, SPRM perlu memastikan pemilikan harta itu datang daripada perbuatan rasuah atau salah guna kuasa, sebelum siasatan rasmi boleh dimulakan.

“Kami perlu pastikan dulu adakah pemilikan harta itu ada unsur rasuah atau tidak.

“Bila kami siasat, kami kena gunakan kuasa kami. Kita tidak boleh bertindak di luar bidang kuasa kami. Jadi, kesalahan pada kami pula.

“Setakat ini belum (siasat) lagi. Kita kena tengok apa dilaporkan,” tambahnya. – MalaysiaGazette