Azam Baki

PUTRAJAYA – Satu kajian akan dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung memorandum yang diserah oleh Pakatan Harapan (PH) pagi tadi apabila menggesa siasatan ke atas 1MDB dibuat.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki yang ditemui bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana belum melihat kandungan memorandum yang diserahkan itu.

“Dia (PH) datanglah ke pejabat. Saya pun tak tahu kandungan memorandumnya. Kita kena lihat dulu memorandum itu.

“Memorandum memang banyak dihantar kepada kami dan ada daripadanya (maklumat) diambil dalam blog. Yang penting apakah isi kandungannya.” katanya di Ibu Pejabat Imigresen, di sini hari ini.

Pagi tadi, pimpinan PH yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang; Naib Presiden PPBM, Datuk Abdul Rashid Asari; Naib Presiden Amanah, Hasanuddin Mohd Yunus dan Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah, Darell Leiking hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk menyerahkan memorandum 1MDB.

Memorandum yang dihantar itu menggesa SPRM membuka siasatan baru terhadap 1MDB berdasarkan saman sivil terkini Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) kerana penyelewengan dana 1MDB merosakkan nama baik Malaysia.

Mereka berkata, SPRM berperanan penting memulihkan maruah rakyat Malaysia dengan menghadapkan mereka yang terbabit dalam rasuah, pecah amanah dan salah guna kuasa ke muka pengadilan. – MalaysiaGazette