Shahrir Abdul Samad.

BANGI – Pengurusan tertinggi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) tetap dengan pendirian mahu siasatan terhadap Felda Investment Corporation (FIC) dilakukan dengan telus.

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, pihaknya bersedia menyerahkan siapa saja di dalam organisasi Felda kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak kira individu itu pekerja bawahan mahupun mereka yang berkedudukan di bahagian pengurusan tertinggi.

“Bagi saya terpulang kepada SPRM siapa yang hendak mereka panggil. Kita menggalakkan siasatan terhadap FIC, kepada Felda, kepada FGV (Felda Global Ventures).

“Ia perlu dilakukan oleh SPRM. Kita terbuka, kita memberi kerjasama sepenuhnya,” katanya ketika ditemui selepas perasmian bangunan Lake Cempaka Villa, Taman Tasik Cempaka di sini hari ini.

Shahrir berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Mohd Azam Baki dalam wawancara dengan sebuah agensi berita nasional malam tadi.

Dalam wawancara itu, Mohd Azam berkata, pihaknya akan memanggil seorang individu penting berhubung pembelian dua buah hotel di London dan di Kuching, Sarawak oleh FIC.

Katanya, individu berkenaan dijangka dipanggil selewat-lewatnya minggu depan.

Dalam perkembangan sama Shahrir berkata, Felda sememangnya mahu bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam segala perkara dan langkah tersebut sangat digalakkan.

Katanya, ia merupakan satu proses pembersihan yang wajar bagi memperlihatkan pentadbiran Felda yang berintegriti serta pengurusan yang mempunyai fokus.

Ujarnya, langkah itu perlu dilakukan demi menjaga kebajikan peneroka dan ia merupakan ikrarnya. – MalaysiaGazette