Presiden MIC, Datuk Seri S.Subramaniam.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr. S. Subramaniam membayangkan MIC telah memuktamadkan senarai calon MIC dan akan mengumumkan kepada umum.

Malah Presiden MIC itu turut memberi gambaran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan nama calon-calon MIC yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dalam tempoh tiga minggu lagi.

Senarai nama-nama calon MIC telah diserahkan kepada Najib.

“Mungkin dalam tempoh seminggu, dua atau tiga minggu lagi PM akan mengumumkan calon-calon MIC akan akan bertanding pada PRU kali ini,” katanya seperti dipetik akhbar, Nanban.

Sumber MIC memaklumkan, Menteri Kesihatan itu menyatakan perkara tersebut dalam satu perjumpaan bersama Ketua-Ketua Cwangan MIC Sungai Siput pada Ahad lalu.

Nama-nama calon parti komponen BN sudah dimaklumkan kepada mereka penyelaras pilihan raya yang bertugas di  Parlimen dan Dewan Undangan Negeri untuk mendekati pengundi pelbagai bangsa.

Bagaimanapun, sehingga kini calon MIC di Parlimen Sungai Siput, kerusi tradisi MIC sebelum dirampas pembangkang pada pilihan raya lalu, masih menjadi teka-teki.

Ketua Cawangan MIC bahagian itu mahu calon diumumkan lebih awal bagi memudahkan pemimpin menyusun strategi untuk berkempen dan meraih undi.

Pengumuman pada saat akhir didakwa akan menyukarkan jentera pilihan raya untuk mendekati masyarakat.

Bagi menjawab pertanyaan mereka, Subramaniam berkata: “Saya sudah menyerahkan senarai nama calon-calon kepada Perdana Menteri Najib untuk dipertimbang dan dimuktamadkan.

“Dallam masa tiga minggu lagi PM akan mengumumkan calon yang akan mewakili MIC pada PRU14 nanti.

“Malah saya telah mengemukakan empat nama berpotensi untuk bertanding di Parlimen Sungai Siput dan salah seorang daripadanya akan dipilih PM untuk bertanding di Sungai Siput,” katanya. – MalaysiaGazette