Sohaimi Shahadan

KUALA LUMPUR – UMNO menyambut baik pendirian Pas berhubung keyakinan parti itu terhadap pelan rasionalisasi syarikat strategik kerajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pendirian itu membuktikan Pas melihat pelan rasionalisasi 1MDB dengan ‘mata hati’, bukan dari sudut pandang politik seperti mana rakan pembangkang lain khususnya DAP dan PKR yang berterusan berusaha menjadikan 1MDB sebagai modal kempen politik mereka.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, kenyataan Pas itu juga membuktikan kerajaan selama ini cukup telus dan tidak pernah menyembunyikan sesuatu di sebalik usaha untuk memulihkan kembali 1MDB melalui pelan rasionalisasi yang dilaksanakan.

“Ternyata selama ini segala isu dan kekeliruan yang dibangkitkan berhubung isu 1MDB sudah dijawab dengan jelas oleh syarikat strategik itu termasuk kerajaan melalui beberapa siri penerangan yang diadakan.

“Namun, pembangkang memilih untuk tidak memahaminya kerana tujuan politik,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Pada Isnin, seramai 30 saf kepimpinan Pas diketuai Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dilaporkan mengadakan pertemuan dengan pengurusan 1MDB termasuk Presidennya, Arul Kanda.

Turut hadir pertemuan itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan; Naib Presiden, Idris Ahmad dan Ketua Penerangannya, Nasrudin Hasan.

Bercakap dalam sidang akhbar di sebuah hotel di Ampang selepas pertemuan itu, Tuan Ibrahim dilaporkan berkata, mereka berpuas hati dengan pelbagai penjelasan oleh Arul Kanda khususnya mengenai pelaksanaan pelan rasionalisasi 1MDB.

Menurut Sohaimi, rakyat boleh menilai dan membuat keputusan sama ada untuk mempercayai kenyataan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang sudah beberapa kali kantoi menipu dan memfitnah ataupun mendengar hujah Pas yang ternyata lebih rasional melihat pelan pemulihan 1MDB.

Begitu juga, katanya, kenyataan Pas itu membuktikan barisan kepemimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) khususnya Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin cukup lemah apabila gagal memahami pelan rasionalisasi 1MDB.

“Malah, Muhyiddin juga sebelum ini berada dalam Kabinet kerajaan bersama Perdana Menteri.

“Jika Pas boleh memahami pelan rasionalisasi 1MDB, ternyata Muhyiddin sama ada terlalu lemah untuk memahaminya ataupun sengaja untuk tidak memahaminya kerana agenda tersembunyi bagi menjatuhkan kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak,” katanya. – MalaysiaGazette