Malaysia dipilih sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia di PPB, semalam.

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar hari ini mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang terlibat dalam kejadian gempa bumi di China semalam.

Gempa bumi berukuran 7.0 pada skala Richter melanda Jiuzhaigou, Aba Tibetan dan dearah autonomi Qiang di barat daya wilayah Sichuan pada 9.19 malam semalam.

Sehingga pukul 11 pagi hari ini, sekurang-kurangnya 13 orang awam dilaporkan terkorban dan 175 lagi tercedera.

Wisma Putra dalam kenyataan di sini berkata, pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Kunming telah menghubungi pihak berkuasa berkaitan dan setakat ini tiada rakyat Malaysia yang terlibat.

“Pihak berkuasa wilayah Sichuan sedang menangani situasi ini dengan mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi membantu mangsa-mangsa bencana besar itu,” kata kenyataan itu.

Wisma Putra melalui pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Kunming sedang memantau situasi tersebut dan berhubung dengan pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan perkembangan terkini. – Malaysia Gazette