Kongsi
Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pusat Media Utama dan Pusat Penyiaran Antarabangsa sempena Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). foto SAFWAN MANSOR, 10 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar meminta semua pihak khususnya rakyat Malaysia tidak membesarkan isu melibatkan kenyataan perenang emas Sukan Olimpik Singapura, Joseph Schooling.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) itu meminta semua pihak yang terlibat dalam temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) supaya memberi sambutan yang berbudaya kepada perenang Singapura apabila tiba ke negara ini nanti.

“Saya telah menghadiri malam anugerah di Singapura dan sempat duduk semeja dan mengadakan perbualan panjang dengan Schooling.

“Dia bukan orang yang belagak, dia orang yang baik dan sudah tertekan  dikecam ramai.

“Apabila dia (Schooling) datang untuk mengambil bahagian dalam acara renang di Sukan SEA nanti, sila hormatinya sebagai ikon global.

“Kita perlu bangga dia mewakili Asia Tenggara menyerlah di peringkat global.

“Cuba beri sokongan kepadanya, saya tidak mahu apa-apa insiden ‘boo’ ke atasnya nanti,” katanya kepada pemberita di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Jalan Dutamas di sini hari ini.

Terdahulu beliau hadir ke Majlis Pelancaran Pusat Media Utama dan Pusat Penyiaran Antarabangsa (IPC) untuk Sukan SEA KL2017 oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Dalam masa yang sama, Khairy yang mengulas mengenai Schooling meminta semua pihak menunjukkan semangat kesukanan yang kelas pertama dalam isu tersebut.

“Tolong jangan besarkan isu ini. Kita kena faham juga emak dia adalah rakyat Malaysia. Saya tidak merasakan dia melakukan sesuatu yang bercanggah atau menyakiti sesiapa.

“Saya tidak mahu ada yang ‘boo’ dia (Schooling) apabila muncul pada temasya sukan SEA nanti.

“Bagi kita itu bukan isunya lagi. Sila tunjukkan semangat kesukanan kita yang miliki,” ujarnya lagi.

Pada Ogos tahun lalu, Schooling berjaya memahat namanya sebagai pemenang pingat emas Sukan Olimpik dalam acara 100 meter gaya kupu-kupu..

Dengan berbaki 9 hari sebelum Sukan SEA bermula, Schooling akan bertandang ke negara kelahiran ibunya, Malaysia untuk mengetuai skuad renang Singapura.

Schooling pada Selasa lalu mengulas mengenai komen sebelumnya mengenai pergi ke perenang Malaysia dan mengajar mereka telah difahami luar konteks sebenar.

“Kami mempunyai peluang melakukan yang istimewa dalam Sukan SEA seperti 2015 dan saya rasa alangkah baiknya pergi ke Malaysia dan ‘mengajar’ mereka sesuatu,” katanya minggu lalu.

Kenyataan itu telah tular di Singapura dan Malaysia sehingga Schooling dianggap berlagak dan biadap dan meminta perenang itu bersopan.

Schooling sebagai membalas kecaman itu menjelaskan dia hanya merujuk kepada perenang muda pasukannya da mengajar mereka mengenai kemudahan launch pad acara renang apabila sampai di Malaysia.

“Kata saya itu dijadikan berbunyi seperti saya mengkritik Malaysia,” jelas perenang berusia 22 tahun itu. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan