Abdul Aziz Jusoh

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sentiasa memantau bukan sahaja golongan atheist malah semua kumpulan yang mempunyai kecenderungan melanggar undang-undang sedia ada.

Pengarahnya, Abdul Aziz Jusoh berkata, pihaknya akan terus menyiasat kes berkenaan selain mengharapkan aduan orang ramai bagi mengekan kegiatan itu berleluasa.

“Kita turut merancang beberapa pelan tindakan untuk menangani isu ini secara keseluruhan dengan berhemah.

“Justeru, pendekatan bagi memahami punca, merawat serta menyediakan solusi kepada masalah ini akan diberi fokus utama dalam menanganinya.

“JAWI sentiasa membuka ruang kepada semua pihak yang hendak mendapatkan info berhubung agama Islam untuk hadir dan berdiskusi mengenai hal ini,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Pada Minggu lalu, viral kegiatan sekumpulan anak muda Melayu yang mendakwa menyertai kelab atheist bangga menggelarkan diri mereka sebagai ‘bekas muslim’ atau ex-muslim.

Mereka mendakwa, untuk menyertai kelab itu setiap ahli perlu yakin bahawa tuhan tidak wujud.

Mengenai kewujudan Atheist Republic Consulate of Kuala Lumpur atau Kedutaan Rebulik Atheist di Kuala Lumpur, Abdul Aziz menjelaskan, jika didapati ada orang Islam di Wilayah Persekutuan yang terlibat, mereka akan dipanggil dan dinasihat agar tahu dan sedar bahawa tindakan menyertai kelab itu boleh menjejaskan akidah.

“Melihat kepada aspek perundangan Islam, sebagai contoh di Wilayah Persekutuan, penyebaran ajaran atheist ini juga boleh diambil tindakan di bawah Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997,” katanya.

Kata beliau, pada dasarnya, mana-mana ajaran sama ada atheist dan sebagainya yang bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah tertolak dan tidak diterima dalam Islam.

Malah, ujarnya, perbuatan itu juga bercanggah dengan prinsip Rukun Negara iaitu  kepercayaan kepada tuhan.

“JAWI dalam hal ini akan meneruskan pemantauan berkaitan kegiatan berkenaan di kawasan tertentu sekitar Lembah Klang Kuala Lumpur.

“Sekiranya mereka didapati menyebarkan ajaran yang sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam kepada masyarakat, tindakan undang-undang di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah boleh diambil ke atas mereka,” tegasnya. – MalaysiaGazette