Najib Razak.

PUTRAJAYA – Keupayaan untuk melihat terkehadapan melalui kajian strategik masa hadapan semakin penting menuju ke arah matlamat Transformasi Nasional 2050 (TN50), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata negara membangun seperti United Kingdom, Finland dan Singapura telah mengguna pakai metodologi ‘horizon scanning’ dan ‘strategic foresight’ bagi memastikan pelan jangka panjang negara mereka bertepatan dan sesuai dengan keperluan masa hadapan.

Katanya Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa sendiri telah menerajui dan menggalakkan penggunaan metodologi ‘scenario scanning’ dalam penyediaan pelan tindakan negara.

Tambahnya beliau begitu teruja apabila Jabatan Perkhidmatan Awam mengguna pakai metodologi pandangan jauh dalam penyediaan pelan strategiknya dengan kerjasama Malaysian Foresight Institute (myForesight) dan Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).

“Ini memperlihatkan keupayaan negara mengaplikasi ilmu dan teknologi demi kesejahteraan rakyat dan negara. Syabas!,” katanya semasa mempengerusikan mesyuarat Majlis Sains Negara (NSC), di sini semalam

Selain itu, Najib berkata pelancaran projek Transit Aliran Massa (MRT) laluan pertama pada 17 Julai lepas juga merupakan kejayaan kerajaan dalam membawa kepada perubahan landskap bukan sahaja pembangunan negara malah mobiliti awam yang lebih moden dan akan dinikmati oleh 1.2 juta penduduk Malaysia.

“Walaupun kita melihat jauh ke hadapan di dalam mencari peluang ekonomi dan pasaran baru, kita harus memastikan impak kepada rakyat mesti diutamakan,” katanya.

Najib berkata tiga kertas pertimbangan yang dibentangkan pada mesyuarat itu membincangkan perkara dan isu masa hadapan iaitu Revolusi Industri ke-4, Kerja Masa Hadapan dan Keselamatan Siber.

Katanya keupayaan untuk menguasai teknologi termasuk mengeksploitasi dan meneroka teknologi disruptif adalah penting untuk mentransformasikan pelbagai sektor ekonomi negara melalui pendekatan sains dan teknologi (STI).

“Ini bagi memastikan negara terus mengorak langkah dan tidak ketinggalan dalam persaingan yang menjejaskan pembangunan dan ekonomi negara serta kesejahteraan dan keselamatan rakyat.

Dalam pada itu, Najib turut mencadangkan agar cadangan ‘Malaysia Progresif 2050’ yang dibincangkan dalam dialog bersama komuniti saintifik Malaysia baru-baru ini, dibentangkan dalam mesyuarat NSC akan datang.

Katanya beliau tertarik dengan cadangan itu yang membincangkan kedudukan dan kepentingan sains, teknologi dan inovasi dalam memastikan objektif dan misi TN50 tercapai.

“Adalah amat mustahak untuk negara menggunakan acuan sendiri dalam merangka Malaysia 2050,” kata Najib.

— BERNAMA