Muhammad Abdullah

KUALA LUMPUR – Pendakwah dan penguat kuasa jabatan agama antara dua pihak yang perlu terlibat secara langsung dalam menyedarkan golongan atheist di negara ini.

Menurut pendakwah bebas dan selebriti , Muhammad Abdullah, kedua-dua pihak itu harus mendekati golongan atheist, bukan menunggu mereka datang ke majlis ceramah agama.

Katanya, masalah kewujudan golongan atheist bukan baharu, malah dikesan sejak Imam Abu Hanifah lagi yang pernah berdebat dan berjaya syahadahkan sebilangan besar dari mereka.

“Sekarang isu besar ini timbul di negara kita. Mereka ada republik dan tidak percayakan kepada Allah,” katanya dalam satu ceramah di sini, semalam.

Sabtu lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, kerajaan akan menyiasat dakwaan kewujudan Kelab Atheist Republic Kuala Lumpur yang dikatakan turut dianggotai orang Islam.

Beliau berkata, perkara itu sememangnya membimbangkan sekiranya benar-benar berlaku kerana ia membabitkan usaha memesongkan akidah umat Islam dan boleh menggugat kestabilan negara.

Menurut Muhammad, golongan atheist ada empat latar belakang, iaitu orang yang tidak ada agama dari asal, mereka yang belajar agama, tetapi gagal meningkatkan ilmu agama yang dipelajari, golongan yang kecewa dengan agamanya sehingga menganggap sebagai menyusahkan dan ada yang terikut-ikut pengaruh kumpulan itu.

Katanya, jalan penyelesaian ialah golongan pendakwah dan orang jabatan agama perlu terlibat secara aktif.

“Caranya ialah kita kena datang atau mendekati mereka, bukan berdakwah di masjid semata-mata.

“Pendakwah tidak boleh menjadi orang yang berada di rumah kaca semata-mata, boleh dilihat tetapi tidak boleh didekati.

“Kita kena datang kepada mereka untuk berikan kebenaran dan lenyapkan kebatilan yang meresap dalam jiwa golongan atheist ini,” katanya.

Sambil menceritakan pengalamannya mendekati golongan atheist, Muhammad berkata, beliau menggunakan pendekatan berdakwah secara moden dan cuba menyelami kehendak hati nurani kumpulan itu.

Jelasnya, apabila kumpulan itu mula berjinak dengan kaedahnya, ketika itu beliau terapkan ilmu agama dan kewujudan Tuhan secara sedikit demi sedikit.

“Jangan guna kaedah mendesak. Mereka tidak suka dengan cara itu,” katanya. – MalaysiaGazette