Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (dua kiri) yang turut serta Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (dua kanan) bergambar kenangan bersama orang ramai selepas selesai bersalawat dan berqasidah pada Program Doa Untuk Malaysia sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2017 di Dataran Putra, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 12 OGOS 2017.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhujan bersama kira-kira 10,000 umat Islam dalam program Selawat Perdana dan Doa Untuk Malaysia sempena Hari Kebangsaan 2017 di Dataran Putra, di sini, malam ini.

Program yang bermula kira-kira jam 7.30 malam itu didahului dengan peserta yang hadir menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah diimamkan Imam Besar Masjid Putra, Datuk Abdul Manaf Mat.

Hujan sejak jam 8 malam tidak menghalang orang ramai memenuhi setiap ruang Dataran Putra untuk sama-sama berselawat diketuai pendakwah dari Indonesia, Habib Syech Abdul Qadir Assegaf.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak; dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor.

Orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang pada Program Doa Untuk Malaysia sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2017 di Dataran Putra, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 12 OGOS 2017.

Program itu anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia bersama Yayasan Pendidikan Cheras dan Perbadanan Putrajaya.

Sementara itu, Jamil Khir ketika berucap berkata, program yang diadakan sempena sambutan Hari Kemerdekaan itu bertujuan untuk menerapkan semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat.

Katanya, ia juga untuk mengajak rakyat sama-sama berdoa demi kesejahteraan Malaysia supaya kekal aman, makmur dan sejahtera. – MalaysiaGazette