Kongsi
Shahidan Kassim

GURUN – Semua anggota UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu fokus dan sentiasa bersedia dalam menghadapi serangan pihak tertentu terutama pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana musuh akan menyerang dari pelbagai sudut.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO merangkap Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, dalam keadaan sekarang yang sudah berada pada tahap ‘gear’ 3 dan 4 PRU, semua bahagian perlu bergerak ke arah persediaan itu.

“Bila kita berperang, tiga syarat peperangan ialah mesti ada ketua, mesti berani dan mengetepikan urusan peribadi, termasuklah tindakan keluar parti kerana merajuk, sebab kita perlu bergerak maju ke depan.

“Kita akan menghadapi tentera yang besar di hadapan, yang kiri dan kanan ini akan ganggu kita dan kita mungkin terganggu dengan satu atau dua sentuhan tetapi itu tidak boleh merosakkan peperangan yang besar di hadapan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jerai 2017 di Dewan Sri Zaleha, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Tetap UMNO Tan Sri Badruddin Amiruldin dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua UMNO Bahagian Jerai Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Sementara itu, Shahidan berkata, UMNO/BN perlu memenangi PRU14 kerana hanya parti itu yang mampu mewakili rakyat negara ini seterusnya berkongsi kuasa dengan parti komponen untuk mentadbir negara.

“Tetapi kalau mereka (pembangkang), saya tidak tahu siapa sebenarnya ketua pakatan kerana Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) hanya memiliki satu kerusi berbanding 36 kerusi milik PKR, dari segi logik kita tidak boleh ambil pendekatan bahawa Bersatu akan menjadi ketua,” katanya.

Beliau berkata, untuk menjadi ketua mereka perlu memenangi banyak kerusi, mereka tidak mungkin mampu melainkan cuba memecahbelahkan UMNO/BN. – MalaysiaGazette

Kongsi

Tinggalkan Jawapan