Home Seni Hidup Fahami hormon untuk kekal sihat

Fahami hormon untuk kekal sihat

APABILA berbicara isu hormon wanita, kita sering mahu dan akan menyalahkan faktor hormon atas semua sebab kesihatan yang berlaku. Tetapi sebenarnya kita pun tak pasti apakah sebenarnya hormon yang menjadi punca kerana sukar sungguh untuk memahami hormon- hormon ini.

Malahan lelaki juga tidak terkecuali dengan gangguan hormon, seperti hormon kelelakian iaitu testosteron.

Titik permulaan untuk mendalami ilmu perubatan kesejahteraan dan kesenian kekal sihat ini, bermula apabila saya sendiri megalami pengalaman tahap kesihatan yang buruk iaitu berat badan yang naik melampau, masalah alahan yang berpanjangan dan sering juga tercabar dengan keadaan kesihatan ibu dan ayah yang semakin merosot.

Tahun demi tahun, saya terdedah dengan tekanan kerja, pendedahan terhadap toksin persekitaran, ketidakstabilan hormon dan pemakanan yang tinggi tahap pencemaran toksin dan makanan.

Tanpa disedari, saya telah mengalami satu tahap keadaan ketidakseimbangan hormon utama badan yang dinamakan hormon tiroid. Hormon tiroid adalah paling penting dalam menjalankan fungsi metabolisma badan telah terencat.

Pembaca yang saya kasihi, mari kita fahami dahulu konsep mengapa kita semua berusia. Ada banyak teori yang telah diterokai dan ditemui mengapa manusia semakin tua, seperti pendedahan manusia kepada kenaikan tahap radikal bebas yang melampau daripada persekitaran. Contoh mudah adalah asap rokok dan makanan yang diproses.

Konsep mudah faham seumpama pencuri yang kekurangan tenaga, yang kemudian bertindak dan serang serta rampas tenaga sel badan untuk kegunaan mereka.

Keadaan ini akan memberi ketidakseimbangan tenaga kepada tubuh manusia hingga mencetus kesan inflamasi yang menyebabkan nyanyuk, radang paru- paru, alahan kulit dan resdung mahupun jangkitan, diabetes, darah tinggi, hormon tidak seimbang dan lebih parah kanser.

Faktor kedua mengapa kita semakin tua juga disebabkan faktor kerosakan mitokondria dan banyak teori lain yang sama penting. Tetapi ada satu teori yang sangat terkesan, malah sama penting untuk kita cakna adalah kekurangan nutrisi dan kekurangan hormon badan juga punca utama penuaan semakin cepat.

Hormon yang optima dan seimbang perlu berada sepanjang masa dalam badan. Dengan kata lain, bukan berada paras biasa-biasa sahaja, tetapi ditahap luar biasa.

Estrogen adalah hormon utama dan penting bagi wanita dalam penghasilan kolagen untuk kekal anjal, lembap dan tidak berkedut.

Wanita yang meningkat usia terdedah kepada kehilangan estrogen badan, paras progesteron pula turun dengan lebih awal – memberi satu keadaan yang dinamakan dominasi estrogen.

Lantaran itu wanita sering keletihan dan tidak fokus kepada pekerjaan ataupun urusan keluarga. Mood berubah, perasaan mudah tersentuh, ‘hot flahes’, hilang kesabaran, suka mengarah dan masalah berat badan.

Semakin parah lagi apabila kitaran haid tidak teratur, sudah lama tiada kedatangan haid, mengalami ketulan pula semasa haid dengan bengkak payu dara semasa haid.

Wanita megharungi pelbagai cabaran kehidupan di abad ke-21 ini. Kajian membuktikan wanita lebih terdedah kepada penyakit jika dibandingkan 40 tahun dahulu.

Ini ada kaitan dengan masalah ketidakseimbangan hormon.

Selain hormon estrogen, progesteron dan testosteron, tiroid, kortisol, DHEA, Growth Hormone dan Insulin yang selalunya berlebihan dalam badan adalah contoh lain hormon yang dikatakan mampu cegah penyakit.

Apakah kaitan kekurangan hormon dan penyakit?

Kajian saintifik banyak membuktikan faktor kekurangan hormon juga punca kanser, paras testosteron yang rendah berkait dengan kanser prostat dalam kalangan lelaki dan rendah progesteron juga punca kanser payudara kepada wanita.

Peningkatan penyakit jantung, diabetes, dimensia atau nyanyuk, reput tulang, obesiti dan ketidaksuburan antara penyakit yang dikaitkan dengan faktor hormon.

Lelaki berusia yang buncit perut juga adalah tanda-tanda testosteron rendah – meletakkan lelaki lebih terdedah kepada risiko penyakit jantung dan juga diabetes.

Lelaki awal usia 40 tahun juga sudah mula menunjukkan tanda-tanda kekurangan testosteron dan keadaan metabolik yang dipanggil kerintangan insulin atau ‘insulin resistance’ ialah keadaan hormon insulin normal tidak lagi mencukupi bagi menghasilkan tindak balas insulin normal terhadap sel lemak, otot, dan hati.

Fenomena ini semakin serius masa kini, ditambah faktor gaya hidup yang buruk, pemakanan yang tidak seimbang dan terdedah kepada tahap stres yang tinggi.

Stres itu sendiri, jika tidak diurus akan terganggu banyak lagi hormon badan lain seperti meninggikan adrenalin dan kortisol, progesteron tergugat dan hormon tiriod tidak seimbang juga.

Kesimpulannya, dalam usaha mencapai kesejahteraan dan keharmonian masyarakat sejagat dan mencapai tahap kesihatan yang optima untuk terus kekal cergas dan sihat serta produktif, faktor keseimbangan hormon harus diambil tahu.

Beri perhatian secukupnya jika anda ada mengalami tanda-tanda awal seperti yang dibincangkan awal tadi. Bagi kaum wanita fahamilah fenomena dominasi estrogen untuk kita sama-sama kita tampil mendapatkan rawatan. – MalaysiaGazette

Penulis adalah Dr. Norhaslinda Mat Hassin, Penasihat Kelab Perdim Wellness