Salahuddin Ayub

KUALA LUMPUR – Pertimbangan kerajaan Malaysia terhadap tawaran China untuk membina Pusat Tindak Balas Perisikan Wilayah (RCIC) di Johor yang turut dilengkapi radar pengawasan dan sistem peluru berpandu dikhuatiri akan mengheret negara ke kancah konflik kuasa besar dunia.

Timbalan Parti Amanah Negara (PAN), Salahuddin Ayub berkata, tawaran itu adalah momentum negara tembok besar itu dalam memperkukuhkan pencerobohannya di Laut China Selatan.

Menurut beliau, laporan Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI) menyatakan, China hampir menyiapkan lebih 20 struktur bangunan di tujuh pulau buatan di lokasi yang menjadi perebutan sekitar Laut China Selatan.

“Pulau buatan ini turut dilengkapi sistem pertahanan termasuk senjata anti pesawat, anti peluru berpandu dan pelancar misil jarak jauh,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau menyatakan, pertemuan November ini bersama Presiden China, Xi Jinping berhubung tawaran negara itu perlu diperhalusi sedalam-dalamnya agar nanti Malaysia tidak akan terheret sama dalam kancah perebutan kuasa besar dunia.

“Negara ASEAN perlu terus kekal neutral. Sungguhpun Singapura dan Filipina adalah rakan karib Amerika Syarikat (AS), tetapi yang paling penting ialah tiada mana-mana negara itu membuka wilayahnya untuk pengkalan pertahanan kuasa luar,” kata Salahuddin.

Beliau berharap, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak terburu-buru menjadikan Malaysia sebagai satelit China yang baharu.

“Sekarang ini sudah banyak aset negara yang telah tergadai kepada China, jangan sampai nanti pentadbiran negara akan mengikut telunjuk China.

“Lihat sahaja pengalaman negara-negara Afrika yang menerima pelaburan gergasi dan pinjaman China yang akhirnya merana terpaksa akur kepada negara pemodal gergasi dunia ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette