MACHANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan terima kasih kepada Pas kerana bekerjasama dengan kerajaan untuk kebaikan rakyat di negara ini.

Beliau berkata, pendekatan politik Pas hari ini jelas menunjukkan bahawa itu amat matang dalam berpolitik.

Malah, katanya, biarpun berbeza pendapat tetapi Pas tidak semberono menyerang dan menjadi pembangkang yang konstruktif terhadap kerajaan.

“Dalam hal ini saya mengucapkan terima kasih (kepada Pas), kita bersaing tetapi pimpinan Pas hari ini tidak macam dulu. Pimpinan Pas hari ini lebih matang berpolitik, mereka tolak kerjasama atau tahaluf siyasi dengan DAP.

“Mereka percaya kepada ta’awun iaitu kerjasama untuk kebaikan. Dan kita bekerjasama dalam banyak perkara, seperti dalam isu Rohingya dan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau (RUU 355).

“Dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), mereka (Pas) mengamalkan tabayun, mereka siasat dahulu, panggil Presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dengar penjelasan dan Presiden Pas kata mereka percaya pelan pemulihan 1MDB akan berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat & Pelancaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Parlimen Machang di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Machang di sini hari ini.

Bagaimanapun Najib berkata, kerjasama politik di antara Pas dan UMNO masih belum wujud.

“Setakat ini, tak tau lagi, tengok kepada keadaan, yang penting kita mengamalkan politik matang dan konstruktif,” katanya.