Kongsi
Nik Nazmi Nik Ahmad

KUALA LUMPUR – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad dinasihatkan memberi perhatian kepada PKR dan ahlinya daripada sibuk membuat tanggapan serta dakwaan melulu dari sumber picisan yang tidak menjejak realiti.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM), Ir. Khairil Nizam Khirudin berkata, terlalu dangkal dan tidak matang untuk Nik Nazmi mengukur ‘trend’ sokongan kepada pimpinan Pas berdasar pungutan suara dari sampel rawak atau kelompok terhad.

Kata beliau, sewajarnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia itu bersandarkan pada data yang empirik, realiti, berkredibiliti dan berintegriti seperti mesyuarat agung, muktamar Pas atau keputusan pilihan raya.

“Sekadar mengutip maklumat tepi jalan, lebih baik beliau audit PKR dan ahlinya sendiri. Juga lebih banyak perhatian untuk beliau teliti ‘trend’ sokongan terhadap kepimpinan PKR sejak dari Langkah Kajang dahulu.

“Tindakan yang membawa banyak hiruk pikuk dalam politik itu menimbulkan pertikaian tidak sedikit, selain terjadinya isu-isu tidak berasas hingga berakhir dengan permohonan maaf di mahkamah untuk menamatkan fitnah dilakukan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Ir. Khairil Nizam mempersoalkan adakah wakil rakyat PKR itu tidak sedar rakyat menilai dan melihat kematangan ahli politik dalam menentu hala tuju serta kestabilan negara, bukan pembodohan.

“Atau beliau yang tergugat dengan kerencaman wacana terbuka rakyat, tetapi angkuh untuk melihat kelemahan dan mencermin diri?

“Jangan kerana ingin meraih populariti politik, beliau memilih memburukkan Pas. Sedangkan Pas telah membuktikan keterbukaan dan medannya untuk akar umbinya menyatakan sesuatu,” katanya.

Katanya, Pas adalah sebuah parti yang bebas dan terbuka untuk ahli bertemu serta menegur pimpinan.

Pas juga ujar beliau, tidak emosi dan sentimen atau mengambil kesempatan dalam melaksanakan mandat kepercayaan rakyat.

“Pendirian dan tindakan Pas jelas berdasarkan prinsip serta dasar parti yang tidak berubah atas sebarang kepentingan, namun cermat dan bijak dalam pendekatan.

“Kerana itulah Pas masih mengekalkan sokongan kepada kerajaan negeri Selangor,” katanya.

Kata Khairil Nizam lagi, terbatalnya tahaluf siyasi bersama PKR adalah dalam konteks ikatan rasmi kerjasama antara parti, sedangkan hubungan berkaitan kepentingan rakyat dan rutin kehidupan adalah tanggungjawab yang tidak terputus sama sekali.

“Jika Nik Nazmi keliru antara perbezaan ini bermakna dia terlalu mentah dalam politik dan tidak komited terhadap amanah yang terpikul selaku ahli politik.

“Sedangkan Pas, konsisten memperjuang hak rakyat dan negara secara adil dan sejahtera untuk semua tanpa mengira latarbelakang sokongan parti,” katanya.

Beliau berkata, selaku ahli politik sama ada dari pembangkang atau kerajaan, sewajibnya mengambil inisiatif ‘win-win’ dalam menuju penyelesaian setiap isu dibangkitkan rakyat.

“Kerana itu, dalam kerjasama berkaitannya, Pas terbuka menerima mana-mana pihak,” tegasnya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan