Hadi dikunjungi Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali dan Naib Presiden PKR, Dr. Shaharuddin Badaruddin.

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam menziarahi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Gambar pertemuan itu dikongsikan Abdul Hadi menerusi laman Facebook.

“Menerima kunjungan ziarah oleh pimpinan PKR pada malam ini di Kuala Lumpur,” tulis beliau.

Turut kelihatan, Naib Presiden PKR, Dr. Shaharuddin Badaruddin.

Dipercayai ini kunjungan pertama Wan Azizah, Mohamed Azmin dan Shaharuddin semenjak Hadi selesai menjalani pembedahan.

Bagaimanapun, tujuan ziarah berkenaan tidak dinyatakan oleh kedua-dua pihak.

Justeru ia menimbulkan spekulasi parti itu masih mahu mengadakan kerjasama dengan Pas.

Abdul Hadi masih dalam fasa pemulihan setelah berjaya menjalani pembedahan penggantian injap pada jantung di Institut Jantung Negara Mei lalu. -MalaysiaGazette.