Polis Trafik turut membuat pemeriksaan keatas motosikal pada OPS Bersepadu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di Plaza Tol Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 12 OGOS 2017.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 9,806 saman telah dikeluarkan ke atas pengguna jalan raya dalam Ops Bersepadu Had Laju dan Pelbagai Kesalahan di seluruh negara.

Operasi bersepadu berkenaan bermula 10 Ogos lalu untuk tiga hari sehingga 12 malam tadi.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Suprintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, daripada jumlah itu, kesalahan memandu melebihi had laju di lebuh raya mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 5,742 saman dikeluarkan ke atas pemandu.

“Dalam operasi yang sama sebanyak 4,064 saman dikeluarkan terus kepada pemandu semasa sekatan pemeriksaan di lima zon lebuh raya Utara Selatan seluruh negara termasuk Timur Barat, Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT) dan Lebuh Raya Klang Utara (NKVE).

“Sekatan jalan dan pemeriksaan penguat kuasa pelbagai agensi termasuk PDRM telah dijalankan di 14 lokasi utama di lebuh raya termasuk Plaza Tol Jalan Duta arah selatan,” katanya kepada pemberita di Plaza To Jalan Duta disini awal pagi tadi.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Trafik Bukit Aman, Superintenden Mustafa Bakri Salleh bercakap pada sidang media pada OPS Bersepadu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di Plaza Tol Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 12 OGOS 2017.

Tambah Mustafa, operasi berkenaan disertai oleh seramai 64 pegawai dan 583 anggota mewakili PDRM (21 pegawai, 346 anggota polis trafik), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) melibatkan 4 pegawai dan 57 anggota, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (11 pegawai dan 67 angota), Imigresen diwakili 8 pegawai 56 angota dan Jabatan Alam Sekitar adalah 1 pegawai dan 8 anggota manakala PLUS diwakili tiga pegawai dan 76 anggota.

Jelas beliau, operasi berkenaan fokus kepada enam kesalahan utama trafik iaitu memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, memotong barisan, melanggar lampu isyarat dan memandu melebihi had laju.

“Kita mahu mendidik pengguna agar mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Sebanyak 160 saringan dadah telah dilakukan ke atas pengguna lebuh raya dan 24 orang didapati positif dalam kalangan pemandu lori dan penunggang motosikal, kesemua mereka ditahan untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, polis juga telah menangkap sembilan penunggang motosikal atas kesalahan lumba haram mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis turut memeriksa seramai 50 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan 24 orang termasuk lapan wanita ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah di bawah Akta Imigresen,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette