Kongsi
Fadillah Yusof
KUCHING – Sebanyak 50 subkontraktor Bumiputera projek Lebuh Raya Pan Borneo akan memanfaat pembiayaan berjumlah RM500 juta hasil kolaborasi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dengan empat institusi kewangan.

Menerusi kolaborasi itu, empat institusi kewangan terlibat akan menyediakan dana khas iaitu RHB Islamic Bank Berhad dan SME Bank Berhad untuk membiayai kontrak, manakala kemudahan khas jaminan pinjaman akan disediakan oleh Credit Guarantee Corporation (CGC) dan Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP).

Majlis bertukaran dokumen kolaborasi itu telah diadakan di sini hari ini dengan disaksikan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Muda Pembangunan Keusahawanan dan Industri Kecil Sederhana Sarawak Datuk Naroden Majais.

Teraju diwakili oleh ketua pegawai eksekutifnya (CEO) Datuk Husni Salleh, SME Bank Berhad diwakili ketua pegawai operasinya Datuk Kamaluddin Ismail, RHB Islamic Bank Berhad oleh pengarah urusan dan CEOnya Datuk Adissadikin Ali manakala Credit Guarantee Corporation diwakili oleh presiden dan CEOnya Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak sementara SJPP diwakili oleh pengarah urusannya Dr Nungsari Ahmad Radhi.

Fadillah yang juga pengerusi Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) Sarawak ketika berucap pada majlis pertukaran dokumen kolaborasi itu berkata program itu bertujuan untuk menyediakan kemudahan jaminan dan kewangan bagi syarikat Bumiputera yang menjalankan kerja pakej subkontrak bagi projek Lebuh Raya Pan Borneo.

Katanya empat institusi kewangan berkenaan akan menyediakan kemudahan pembiayaan dan jaminan kewangan bernilai RM500 juta kepada kontraktor Bumiputera yang terlibat.

“Program ini diharap dapat membantu penglibatan kontraktor Bumiputera yang berkelayakan dalam projek Lebuh Raya Pan Borneo.

“Ia juga merupakan sebahagian daripada inisiatif Teraju di bawah pelan pelaksanaan ‘Carve Out & Complete’ sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menyediakan ekosistem yang kondusif bagi meransang penyertaan golongan Bumiputera dalam ekonomi negara,” katanya.

Fadillah berkata dijangka 50 syarikat kontraktor Bumiputera akan meraih manfaat daripada program ini, yang akan membantu meningkatkan kelayakan atau ?bankability’ syarikat-syarikat berkenaan untuk mendapatkan fasiliti pembiayaan daripada institusi kewangan yang telah dikenal pasti.

Menurt Fadillah lagi, projek Lebuh Raya Pan Borneo dijangka bertindak sebagai pengganda ekonomi setempat selain menghubungkan Sarawak, Sabah dan negara jiran Brunei Darusalam.

“Ia dapat menggalakkan penciptaan peluang ekonomi yang lebih dinamik serta mendorong pertumbuhan sektor ekonomi seperti perkhidmatan dan pelancongan.”

Sementara itu, Fadillah berkata Sarawak GLC Talent Development Programme merupakan inisiatif di antara Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan Teraju bagi melahirkan modal insan yang berpotensi tinggi di kalangan pengurusan kanan di negeri Sarawak.

Katanya pengurusan kanan yang terlibat akan ditempatkan di syarikat GLC yang terpilih di mana mereka akan diberi pelbagai pendedahan serta tugasan selama enam bulan.

“Dalam proses melalui program ini, pengurusan kanan yang terlibat dapat memperoleh pemahaman yang lebih mendalam tentang amalan terbaik yang diamalkan di syarikat-syarikat GLC, di samping meluaskan rangkaian professional mereka.

“Pada masa yang sama program ini turut menyumbang kepada pemindahan pengetahuan dan teknologi di antara syarikat-syarikat GLC dalam membangun dan melaksanakan projek-projek yang bernilai tinggi,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan