Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah bergambar kenangan sambil diiringi pengantin lelaki, Muhd Syafiq Majid dan pengantin perempuan, Nurul Huda Azmin pada Majlis Pelancaran Pakej Raikan Cinta di SMK Dato' Ahmad Razali, Ampang. foto AFFAN FAUZI, 12 OGOS 2017

AMPANG  – Disebalik kekangan kewangan, pastinya pasangan yang ingin mendirikan rumahtangga masih tercari-cari lokasi untuk mengadakan masjid ‘Raja Sehari’ mereka.

Inisiatif terbaru Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Ahmad Razali di Ampang Jaya ini menawarkan pakej majlis perkahwinan yang berpatutan bagi memberikan peluang kepada pasangan mencari alternatif venue hari bahagia mereka.

Bertemakan Raikan Cinta #tilljannah, ia diharap menjadi pilihan alternatif kepada pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga.

“Ini adalah majlis pertama dan batu loncatan kepada koperasi kami untuk membuat pendedahan kepada masyarakat luar, sebelum ini kami pernah buat perkahwinan di sekolah tetapi bukan anjuran koperasi.

“Memang sentiasa ada permintaan daripada masyakat untuk mengadakan majlis perkahwinan di sini kelak,” demikian menurut Pengetua SMK Dato’ Ahmad Razali, Norwati Muhamad.

Pertama seumpamanya, ia mendapat kerjasama daripada Angkatan Koperasi Malaysia Berhad (Angkasa).

Bertempat di tapak perhimpunan sekolah, ia dirasmikan Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah semalam.

“Ini yang pertama yang saya pernah tengok. Ini projek perintis sebab kalau koperasi masjid memang ada program seumpama ini.

“Untuk mengadakan majlis perkahwinan memerlukan ruang terutama sekali mereka yang tinggal di kawasan bandar, ini mungkin menjadi satu halangan untuk mendapatkan dewan dan kemudahan lain.

“Ini berbeza dengan kawasan sekolah kerana kawasan lapang jadi ini tidak menjadi masalah,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Pakej Raikan Cinta #tilljannah di sekolah berkenaan.

Menurut Abdul Fattah, masyarakat Ampang kini menghadapi masalah untuk mencari lokasi perkahwinan anak-anak mereka.

Diharap dengan kewujudan Pakej Raikan Cinta daripada SMK Datuk Ahmad Razali ini, masalah itu tidak lagi menjadi penghalang kepada pasangan untuk meraikan hari bahagia masing-masing.

“Kalau kita sewa dewan di luar, barangkali harga disini lebih kompetetif dan perkhidmatannya lebih baik berbanding diluar,” tambah beliau.

Raikan Cinta menawarkan Pakej Premium RM 16.50 dan Pakej Eksklusif bagi RM14.50 untuk minimum 1,000 tetamu.

Pakej Ekonomi pada kadar RM12.50 bagi seorang tetamu.

Majlis diadakan pada setiap hari Sabtu bergantung kepada jadual persekolahan semasa sekolah. -MalaysiaGazette.