Dr Mahathir Mohamad.

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad nampaknya masih bermain teka-teki apabila ditanya sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi mangsa politiknya atau benar-benar pesalah liwat.

Ketika ditanya berkenaan perkara tersebut oleh penonton dalam program Nothing To Hide 2.0 petang ini, Tun M hanya menjawab ia hanya satu kisah lama antara beliau dan Anwar.

“”Itu perkara lama. Ketika saya jumpa dia (Anwar), dia tak tanya pun soalan macam tu,” jawabnya.

Sebelum itu, seorang peserta program mahu kepastian daripada Tun M mengenai kes Anwar.

“Assalamualaikum Tun, saya bergaduh adik-beradik kerana Tun dan Anwar. Adakah Anwar Ibrahim benar-benar pesalah liwat negara atau mangsa kerakusan politik Tun?

“Kalau Anwar benar-benar pesalah, Tun baru saja mengangkat banduan sebagai bakal perdana menteri, sedangkan banduan awam susah untuk mendapatkan pekerjaan,” soalnya.

Bagaimanapun, Tun M tetap enggan menjawab secara khusus berkenaan soalan tersebut.

Sebaliknya, beliau mahu semua pihak bersama-sama bersatu menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.-MalaysiaGazette