Sebahagian orang ramai cuba memadam suar yang dibaling semasa kekecohan yang berlaku ketika sesi soal jawab bersama Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Mahathir Mohamad pada program "Nothing To Hide 2.0" di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Shah Alam. foto HAZROL ZAINAL, 13 OGOS 2017.

KUALA LUMPUR – Huru hara yang berlaku dalam forum Nothing to Hide 2.0 berpunca daripada penyokong Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri, kata Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad.

Menurutnya, para penyokong Tun M sendiri yang marah kerana Tun M tidak dapat menjawab soalan-soalan berhubung skandal semasa pentadbirannya.

“Soalan-soalan itu termasuk tentang tindakan penjara ke atas Anwar Ibrahim dan peristiwa berdarah di Memali, kata Setiausaha akhbar kepada Perdana Menteri Najib Razak Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad.

“Forum Nothing to Hide 2.0 sudah jadi forum Everything to Hide (semua hendak disorok),” katanya dalam satu kenyataan lewat petang ini.

Menurut Tengku Sariffuddin, forum itu dianjurkan oleh PPBM dan parti itu perlu bertanggungjawab.
“(PPBM) bertanggungjawab sepenuhnya atas acara itu, jadi menyalahkan kekecohan itu terhadap UMNO adalah satu percubaan untuk menutup tindakan ahli-ahlinya yang memalukan,” katanya.

Menurut Tengku Sariffuddin, sebagai gabungan politik yang berpecah-belah, apalah yang boleh diharapkan daripada Pakatan Harapan (PH) yang kerjasama antara bekas-bekas musuh yang melakukan apa saja untuk menghancur antara satu sama lain sejak berdekad-dekad lalu.

Mengulas dakwaan pemimpin PH yang menyalahkan UMNO dan Perdana Menteri, Datuk Seri najib Razak, Tengku Sariffuddin berkata, ia satu cubaan untuk mengalihkan perhatian daripada perpecahan dalaman PPBM serta satu lagi contoh bagaimana pembangkang mencipta kebencian terhadap kerajaan setiap kali ada peluang.

“PPBM bertanggungjawab sepenuhnya terhadap forum itu, jadi untuk menyalahkan UMNO bagi kekacuan yang berlaku merupakan satu percubaan pihak pembangkang untuk menutup kelemahan ahlinya sendiri.

“Kalau forum seperti itu pun tidak boleh PH anjurkan tanpa kekecohan, bayangkan saja apa yang ia lakukan kepada Malaysia dan dakwanya negara boleh porak-peranda kalau pakatan yang diketuai oleh DAP itu jadi kerajaan,” katanya lagi.

Tengku Sariffuddin memaklumkan pihak berkuasa akan menyiasat kejadian yang berlaku dan mengambil langkah sewajarnya mengikut undang-undang.

“Kerajaan di bawah kepimpinan perdana menteri akan terus memberi tumpuan kepada kebajikan ekonomi, kesejahteraan sosial dan keselamatan semua rakyat Malaysia,” katanya.- MalaysiaGazette