Syed Badli Syed Osman

KUALA LUMPUR – Rakyat Selangor berhak untuk menilai dan memilih kerajaan mana yang terbaik untuk mentadbir negeri itu, kata Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Syed Badli Syed Osman.

Justeru, beliau menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, yang menegur rakyat negeri itu kerana memilih pembangkang mentadbir Selangor selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) banyak berbelanja untuk pembangunan, sebagai biadab.

Beliau berkata, kerajaan Selangor bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali secara terang dan jelas telah berjaya menunjukkan prestasi cemerlang khususnya dalam usaha pemberian pelbagai inisiatif yang peduli rakyat.

“Tentunya rakyat Selangor yang menerima manfaat secara langsung dari pelbagai inisiatif yang diperkenalkan kerajaan negeri membuatkan mereka semakin matang menilai parti manakah yang harus dipilih menjelang pilihan raya kelak.

“Dengan kebiadapan Setiausaha Agung UMNO menghina rakyat Selangor, jelaslah UMNO dan BN bukanlah parti yang sesuai untuk memerintah negeri Selangor, bahkan Malaysia,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini semalam.

Tengku Adnan ketika merasmikanMesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Petaling Jaya Utara semalam dilaporkan berkata, BN yang menjadi nadi kemajuan Selangor sejak merdeka seharusnya menyedarkan rakyat kembali ke pangkal jalan untuk memberi peluang kepada BN merampas kembali negeri itu.

Beliau turut menggesa penyokong UMNO dan BN agar bekerja keras sekiranya mahu parti itu memerintah Selangor setelah dua penggal kecundang kepada pakatan pembangkang.

“Lepas bangunkan, senang-senang nak bagi kepada pembangkang? Kita punya lah ‘reserve’ berbilion-bilion.

Beliau seterusnya bertanya: “Selangor ni gila ke apa?” sebagaimana laporan sebuah portal mesra pembangkang, semalam.

Mengulas lanjut, Syed Badli berkata, ucapan itu jelas menghina rakyat Selangor keseluruhannya termasuk Sultan Selangor.

“Jika itu yang beliau maksudkan, secara jelas beliau telah menghina rakyat Selangor termasuk Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bangang punya Ku Nan! Dia yang gla sebenarnya. rakyat Selangor punyalah happy dapat Kerajaan Pakatan yang sangat prihatin dan peduli rakyat…. Wei, cermin lah diri tu dulu Ku Nan! Lu fikir orang Selangor bodoh mcm kau ke?

Comments are closed.