Syed Ali Syed Al-Habshee
Syed Ali Syed Al-Habshee

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mempunyai kepentingan peribadi dalam UMNO, kata Datuk Seri Syed Ali Alhabshee hari ini.

Ketua UMNO Bahagian Cheras itu berkata, Najib yang mengambil keputusan membuka peluang kepada ahli-ahli parti peringkat cawangan dan bahagian untuk pemilihan jawatan presiden menunjukkan keterbukaan yang profesional.

“Jika Najib mengamalkan sikap diktator dan mempunyai kepentingan dalam parti, beliau boleh untuk tidak bersetuju dengan pindaan perlembagaan parti supaya pemilihan di buat peringkat akar umbi.

“Jika beliau sebagai Presiden UMNO yang juga PM tamak kuasa, beliau sudah boleh meneruskan peraturan sebelum ini yang mana perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO membuat pemilihan untuk jawatan presiden parti,” katanya dalam kenyataannya menerusi blogspot UMNO Cheras hari ini.

Justeru, katanya, UMNO dibawah kepimpinan Najib bersikap terbuka pada tahun 2013 dengan membenarkan pemilihan presiden dibuat oleh akar umbi peringkat cawangan dan bahagian.

“Ini buktinya Najib tidak memperalatkan UMNO untuk kepentingan peribadi,” katanya lagi.

Berdasarkan ketelusan itu, kata Syed Ali melihat Najib seorang pemimpin itu tidak mahu rakyat melihat UMNO sebagai institusi milik individu tertentu seperti sebelum ini sehingga ahli UMNO tidak bebas bersuara.

Pada masa sekarang, transformasi politik yang dilaksanakan Najib telah menjadikan para ahli parti lebih kritis, matang dan berani melontarkan pandangan, kritikan kepada pemimpin parti, katanya.

Malah, katanya, perubahan itu telah menyebabkan UMNO semakin kukuh dan dihormati.

Beliau berkata demikan sebagai mengulas kenyataan Najib semalam yang dilaporkan berkata langkah pemilihan jawatan presiden UMNO kepada lebih 165,000 anggota pada tahun 2013 merupakan bukti nyata UMNO bukan milik beliau seorang malah berbeza di zaman kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Mengulas lanjut, Syed Ali menjelaskan, Presiden UMNO itu yang menghapuskan sistem ‘undi kuota’ juga membuktikan keikhlasan beliau melihat parti lebih terbuka dan demokratik.

“Secara tak langsung, ahli UMNO yang kini mencecah tiga juta orang mendapat pengiktirafan Najib untuk menentukan kepimpinan parti.Amalan pemilihan berdasarkan sistem kuota sebelum ini kemungkinan menularnya amalan politik wang yang merosakkan parti,” tegasnya lagi.

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan itu juga menjelaskan, serangan fitnah dan provokasi politik pembangkang terhadap UMNO dan Barisan Nasional hanya akan memudaratkan perpaduan rakyat berbilang kaum.

“UMNO kena berusaha memastikan rakyat bersama kita pada PRU-14, UMNO dan BN perlu bangkit dengan kekuatan luar biasa menangkis ancaman pembangkang,” jelas beliau.- MalaysiaGazette