Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Loga Bala Mohan (kiri) diiringi Penganjur Dinosaurs Alive di Kuala Lumpur, Adam Yong Abdullah (kanan) melihat replika Dinosaur pada Perasmian Dinosaurs Alive @ Kuala Lumpur di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Warga kota berpeluang menyaksikan haiwan pra sejarah, dinasor dalam pameran Dinosaurus Alive in Kuala Lumpur di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Jalan Ampang.

Menerusi pameran selama enam bulan itu, lebih 40 dinasor dipamerkan dengan skala besar serta menyediakan teknologi animasi bagi memberikan kepuasan maksimum kepada pengunjung.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pameran sedemikian mampu menarik ramai pelancong asing terutamanya dari Asia.

Selain itu, beliau yakin jumlah pelancong akan meningkat ekoran penganjungan Sukan SEA 2017 yang menyaksikan kehadiran atlet dan penyokong negara-negara peserta.

“Saya menyeru kepada semua lapisan masyarakat agar dapat meluangkan masa untuk mengunjungi pameran ini dan merasai sendiri pengalaman berada di zaman pra sejarah kerana pameran ini mampu memberi pendedahan dan pengalaman kepada semua pengunjung,” katanya pada majlis perasmian Dinosaurus Alive in Kuala Lumpur.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Loga Bala Mohan.

Sementara itu, pengarah projek Dinosaurus Alive in Kuala Lumpur, Adam Yong Abdullah berkata, beliau berbesar hati membawa pameran yang telah bermula 14 Julai lalu itu ke negara ini.

Katanya, ini kerana Malaysia merupakan negara Asia pertama diberi penghormatan mengadakan pameran yang dibawa dari Australia.

Harga tiket untuk kanak-kanak ialah RM35 dan dewasa adalah RM50.

Bagi pelancong dewasa asing mereka dikenakan bayaran sebanyak RM70 dan kanak-kanak sebanyak RM50.

Harga istimewa akan diberi sekiranya datang secara rombongan. – MalaysiaGazette