Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo. foto HAZROL ZAINAL, 04 JULAI 2017.

AMPANG – Kelemahan aspek keselamatan daripada penganjur program Nothing To Hide 2.0 merupakan punca utama kekecohan yang berlaku di program tersebut.

Justeru, akibat kegagalan penganjur, mana-mana pihak yang menyokong pembangkang dinasihatkan supaya tidak mudah menuding jari kepada mana-mana pihak.
Menurut Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo, sebagai penganjur program politik seperti Nothing To Hide 2.0, penganjur sepatutnya sedia maklum dengan risiko-risiko yang bakal berlaku termasuk soalan-soalan provokasi daripada peserta.
“Program itu bersifat politik, dan terbuka kepada sesiapa sahaja untuk bertanya kepada Tun M dengan apa juga soalan sekali pun.
“Sebagai orang politik, penganjur sepatutnya sedia maklum dengan risiko-risiko yang berlaku, dan bersedia dengan sebarang kemungkinan untuk meredakan provokasi, bukannya menambah minyak ke dalam api,” katanya kepada Malaysia Gazette ketika dihubungi malam ini.
Tambah Ismail, kenyataan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyalahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak  berkenaan insiden tersebut juga merupakan tuduhan yang melulu.
Menurut Ismail, kekecohan yang berlaku semalam, tidak mengejutkan berikutan beberapa siri kekecohan yang dianjurkan oleh kumpulan pembangkang selama ini sejak 1990-an bercanggah dengan UMNO.- MalaysiaGazette