Sebahagian dokumen hasil rampasan pada sidang media Jabatan Imigresen mengenai kejayaan menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen terbesar di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 14 OGOS 2017

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia menahan seorang lelaki dipercayai dalang dalam pemalsuan pelbagai dokumen untuk dijual kepada pendatang tanpa izin (Pati) dan majikan.

Lelaki yang bergelar ‘profesor’ itu ditahan kira-kira jam 1.30 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota Imigresen di satu lokasi di Kuala Lumpur, semalam.

Selepas tangkapan dibuat, ‘profesor’ terbabit kemudian membawa sepasukan pegawai Imigresen ke sebuah premis kediaman di Ampang, dipercayai digunakan sebagai makmal untuk memproses pelbagai dokumen palsu.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berikutan itu juga anggotanya menahan seorang lagi lelaki dipercayai orang kanan ‘profesor’ itu.

Katanya, ‘profesor’ dan orang kanannya itu yang berusia 30an adalah warganegara Bangladesh yang dipercayai telah lama melakukan kegiatan memalsu dan menjual dokumen palsu.

“Sehari sebelum ditangkap, kita telah mengumpan seorang lelaki Bangladesh untuk berjumpa dengan ‘profesor’ itu di satu lokasi di Kuala Lumpur.

“Setelah menunggu hampir tujuh jam, ‘profesor’ itu telah hadir ke tempat dijanjikan. Setibanya di situ, anggota kita telah menahan dan membuat pemeriksaan ke atas ‘profesor’ terbabit.

“Dalam pemeriksaan itu kita menemui satu pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan dua kad Pendaftaran Personel Binaan (CIDB) yang disyaki palsu,” katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Utama Imigresen Malaysia di sini, hari ini.

Sebahagian wang hasil rampasan pada sidang media Jabatan Imigresen mengenai kejayaan menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen terbesar di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 14 OGOS 2017

Menurut Mustafa, dalam serbuan di sebuah premis kediaman di Ampang, pihaknya menjumpai 229 pelekat pelbagai jenis iaitu PLKS, pas penggajian, pas pelajar serta pas lawatan sosial yang disyaki palsu.

Katanya, pihaknya juga menjumpai 23 pelekat Visa Malaysia yang disyaki palsu, 196 kad CIDB, 15 E-Kad, enam i-Kad, 13 pasport Bangladesh, empat mesin pencetak, dua unit scanner dan satu unit alat pencetak kad yang dianggarkan bernilai RM8,000.

Turut dirampas, satu set komputer, tiga unit komputer riba, 13 cop palsu kedutaan Bangladesh, 28 set laminating filem, 16 kulit pasport Bangladesh, satu unit penebuk pelekat, 1,400 kad kosong belum dicetak, satu unit pemotong kertas dan wang tunai berjumlah RM11,480 yang disimpan dalam dua bilik di premis berkenaan.

“Dengan penahanan dua lelaki ini, kita percaya penemuan dan rampasan pelbagai dokumen palsu ini adalah yang terbesar setakat ini.

“Hasil siasatan juga mendapati suspek telah menjalankan aktiviti ini sejak setahun lalu dan telah mengaut keuntungan dianggarkan RM50,000 hingga RM70,000 sebulan.

“Modus operandi mereka ialah menggunakan aplikasu viber dengan pelanggan hanya perlu menghantar salinan pasport dan gambar,” katanya.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali menunjukkan E-Kad Sementara Pekerja Asing yang palsu pada sidang media Jabatan Imigresen mengenai kejayaan menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen terbesar di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 14 OGOS 2017

Beliau berkata, proses untuk membuat satu E-Kad palsu hanya mengambil masa lima minit, manakala pasport palsu selama dua jam.

Jelas Mustafa, setelah E-Kad atau pasport itu siap, serahan akan dibuat mengikut tempat dan masa yang ditentukan oleh suspek.

“Biasanya serahan dibuat di stesen LRT sekitar Selangor dan Kuala Lumpur dengan kebanyakan pelanggan adalah warga Bangladesh, Myanmar, Nepal dan India,” katanya.

Katanya, ‘profesor’ dan orang kanannya akan didakwa di bawah Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(a) Akta Pasport.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Mustafa berkata, beliau percaya sindiket itu telah lama menjalankan kegiatan itu berdasarkan peralatan yang ditemui dalam premis kediaman berkenaan.

“Pada Mac lalu, kita berjaya menumpaskan satu rangkaian sindiket terbesar yang menjalankan aktiviti sama di sekitar Kuala Lumpur.

“Kita akan terus memburu sindiket lain yang terlibat secara langsung atau tidak langsung bagi membendung kegiatan itu terus berlaku sehingga boleh menjatuhkan martabat jabatan dan kedaulatan negara,” katanya. – MalaysiaGazette