Sohaimi Shahadan

KUALA LUMPUR – Tindakan segelintir pembangkang menuding jari kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana kekecohan forum Nothing to Hide 2.0 petang semalam sememangnya sudah dijangka.

Tuduhan itu membuktikan pembangkang mempunyai sifat bacul sejak dari dahulu lagi yang enggan mengakui kesilapan dan kelemahan mereka.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, tuduhan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai dalang kekecohan itu menunjukkan beliau seorang yang biadap dan tidak bertanggungjawab.

“Azmin nampaknya semakin lupa diri sejak Tun Dr. Mahathir Mohamad mula menerajui Pakatan Harapan (PH), malah bagaikan sudah terlupa kepada ketuanya yang kini sedang meringkuk dalam penjara Sungai Buloh.

“Daripada Azmin sibuk melemparkan tuduhan melulu tanpa asas bagi menutup kelemahan forum berkenaan, ada baiknya beliau menyelesaikan masalah sampah ataupun longkang tersumbat di Selangor yang sehingga hari ini masih gagal ditangani dengan baik,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini hari ini.

Menurut Sohaimi, PH melakukan kesilapan besar dalam memilih pemimpin untuk menerajui gabungan parti itu dengan melantik Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebagai ketua pakatan pembangkang.

Ini kerana katanya, semua maklum Mahathir mempunyai musuh yang ramai dalam pakatan itu sendiri.

“Pemimpin pembangkang mungkin boleh lupa seketika ‘kezaliman’ Mahathir demi kepentingan politik, tetapi tidak bagi penyokong mereka selama ini yang ditanam dan dimomokkan bahawa Mahathir adalah seorang pemimpin yang zalim.

“Penyokong pembangkang yang taat dan setia mana mungkin boleh lupa mengenai kes liwat yang akhirnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dihumban ke penjara sewaktu pentadbiran Mahathir, begitu juga peristiwa berdarah Memali.

“Malah, sebelum ini kumpulan Otai Reformis yang mendokong perjuangan Anwar secara terbuka dan berterus terang menolak kepemimpinan Dr. Mahathir dalam PH,” ujar beliau.

Sehubungan itu, Sohaimi menasihatkan pembangkang jangan meletakkan kesilapan mereka kepada orang lain selepas salah menjulang pemimpin. – MalaysiaGazette

Comments are closed.