media sosial Mustapha Yaakub veteran najib
Mustapha Yaakub

KUALA LUMPUR – Pemimpin UMNO yang berhasrat bertanding merebut jawatan dalam Majlis Kerja Tertinggi (MT) parti dinasihatkan agar mengutamakan gerak kerja menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) terlebih dahulu.

Setiausaha Agung Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub berkata, tidak ada guna mereka menang jawatan dalam MT tetapi pada masa sama UMNO dan Barisan Nasional (BN) kalah dalam PRU-14.

Katanya, Veteran UMNO hanya akan menyokong pemimpin yang menang dalam PRU-14 sahaja untuk dipilih dalam barisan MT parti.

“Perlu dingat, Veteran UMNO Malaysia mempunyai kuasa undi antara 20 hingga 30 peratus dari jumlah perwakilan di semua bahagian.

“Kita akan menggerakkan ahli bagi memastikan hanya calon yang menang dalam PRU-14 sahaja perlu diundi, selain ketokohan dan kebersihan mereka untuk menduduki MT.

“Veteran UMNO akan menolak calon yang tidak amanah, mencari kekayaan peribadi dan keluarga serta tidak berintegriti walaupun mereka terdiri dalam kalangan menteri mahu pun timbalan menteri,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini hari ini.

Mustapha berkata, Veteran UMNO menerima maklum balas dalam kalangan pemimpin yang hendak menawarkan diri bertanding jawatan dalam MKT telah ‘membeli’ bahagian-bahagian tertentu supaya menjemput mereka merasmikan persidangan bahagian.

Perbuatan itu, katanya, tidak bermaruah, selain ada unsur rasuah dan sepatutnya mereka dijemput atas kerelaan bahagian bukan dengan sogokan.

“Veteran akan mengarah semua ahlinya supaya menolak mereka ini demi untuk mewujudkan satu barisan MT yang kuat, bersih dan berwibawa,” katanya.

Veteran UMNO juga berkata, pihaknya akan menolak semua calon yang tidak setia kepada presiden parti dan tidak mempunyai pendirian serta mencari jalan selamat ketika Datuk Seri Najib Razak dilanda krisis dan diserang oleh pembangkang. – MalaysiaGazette

Comments are closed.