Coke bukanlah 'alat pemadam api ajaib' seperti yang disebarkan dalam media sosial.

PETALING JAYA – Selain diminum, Coke juga boleh digunakan untuk memadam api?

Walaupun minuman bergas itu boleh dimanfaatkan untuk memadam api, tetapi ia tidak boleh menggantikan pemadam api biasa.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata, Coke bukanlah ‘alat pemadam api ajaib’ seperti yang disebarkan dalam media sosial.

Beliau berkata, fungsi Coke sebagai pemadam api adalah tidak teruji dan penggunaannya sebagai alternatif kepada alat pemadam api biasa adalah tidak digalakkan.

Katanya kepada Sinchew Daily, cara terbaik untuk memadam api ialah menggunakan alat pemadam api selain meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Menurut akhbar itu, walaupun Coke yang sudah digoncang akan menghasilkan buih yang mampu memadamkan api, tetapi kuantiti air dalam botol minuman ringan yang kecil mungkin tidak berguna jika berdepan api yang besar.

“Orang ramai jangan sesekali menjadikan minuman Coke untuk menggantikan pemadam api.

“Hanya dalam kebakaran kecil, api yang baru sahaja menjilat, serta dalam keadaan ketiadaan pemadam api, minuman Coke boleh digunakan,” demikian lapor akhbar itu. – MalaysiaGazette