Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membantu penerima bantuan, Mohd Yunus Jaafar (tengah) sambil diiringi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim (dua kiri) pada Majlis Perasmian Perhimpunan 1Pesara Malaysia 2017 di MAEPS, Serdang. foto FAREEZ FADZIL, 15 OGOS 2017

SERDANG – Semua pesara di negara ini digesa agar terus berterima kasih kepada kerajaan yang telah memberikan segala kemudahan dan faktor kewangan setelah tidak lagi menjawat jawatan dalam perkhidmatan awam.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pesara mahupun bakal pesara tidak seharusnya mengkhianati kerajaan yang banyak merubah kehidupan mereka sepanjang mereka berkhidmat dalam sektor awam.

“Kebersamaan kita pada hari ini dan hari akan datang bagi pastikan berterima kasih kepada organisasi dan kerajaan Malaysia yang selama ini memberikan perlindungan dan terus bagi perlindungan kita selama ini.

“Insyaallah, kita tak kan pernah menggigit tangan yang pernah memberi makan pada kita,” katanya dalam ucapan perasmian Perhimpunan 1Pesara Malaysia 2017 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) hari ini.

Lebih 7,500 pesara dan bakal pesara hadir antaranya pesara kerajaan, veteran ATM serta bakal pesara yang berkhidmat dalam sektor awam.

Dalam pada itu, Zahid turut berkata, golongan pesara diminta untuk terus memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara malah teguh berada di belakang kerajaan dalam apa juga keadaan.

“Ketidakpuasan hati sering menyelubungi rasa kebencian kemarahan yang tentu tidak ada noktah.

“Maka realiti ini harus kita dakapi untuk menentukan bahawa kita harus bersyukur pada Allah dengan cara berterima kasih kepada yang memberi kehidupan kepada kita selama ini iaitu kerajaan Malaysia,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.