Phee Boon Poh ketika dibebaskan selepas Mahkamah Tinggi di sini mendapati penahanan itu bagi membantu siasatan operasi kilang haram habuk kayu berkenaan bertentangan dengan Seksyen 117(5) Kanun Prosedur Jenayah.

PULAU PINANG – Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Negeri Pulau Pinang, Phee Boon Poh yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung operasi kilang haram akan bercuti sakit sehingga 21 Ogos ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mendakwa, cuti sakit kepada Boon Poh itu diluluskan untuk beliau ‘sembuh’ daripada pengalaman direman ‘secara haram’ oleh SPRM.

“Beliau akan kembali bertugas semula selepas cuti sakit itu dan akan menjelaskan isu kilang haram di Kampung Sungai Lembu yang didakwa dibenarkan beroperasi lebih 10 tahun,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, kerajaan negeri mengulangi pendirian Boon Poh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Puyu tidak terlibat dalam amalan rasuah membabitkan operasi kilang tersebut.

Katanya, Boon Poh juga akan terus memberi kerjasama kepada SPRM menurut peruntukan undang-undang sedia ada.

Pada Sabtu lalu, Boon Poh sebelum ini direman lima hari oleh SPRM bersama dua pemilik kilang haram pembakaran habuk kayu di Kampung Sungai Lembu, Penanti bagi membantu siasatan terhadap kilang itu yang beroperasi tanpa lesen serta di atas tanah pertanian sejak 10 tahun lalu.

Bagaimanapun kelmarin, Boon Poh dan pemilik kilang berkenaan dibebaskan lebih awal oleh Makmamah Tinggi Pulau Pinang yang mengetepikan arahan tahanan reman Mahkamah Majistret Georgetown.- MalaysiaGazette