Khalid Abu Khalid
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan sebuah kumpulan atheist atau golongan yang tidak menganut apa-apa agama supaya tidak mencabar rakyat beragama khususnya Islam di negara ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kumpulan itu perlu akur kepada undang-undang dan tidak boleh terlepas daripada tindakan.
Katanya, perlembagaan kita mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi dan tidak menghalang orang ramai mengamalkan agama dan kepercayaan masing-masing.
“Dalam hal ini kita akan mengkaji, melihat peruntukan undang-undang supaya tindakan boleh diambil ke atas atheist kerana mereka tidak tertakluk kepada perlembagaan (agama).
“Saya menasihatkan serta memberi amaran kepada kumpulan atheist yang tidak beragama ini jangan cuba menimbulkan apa-apa perkara yang boleh mengelisahkan rakyat terutamanya beragama Islam,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan di Mess Pegawai Kanan, Bukit Aman di sini hari ini.
Dalam isu yang sama, Khalid mengingatkan kumpulan yang sama supaya menghentikan segera cubaan menimbulkan kegelisahan rakyat dan PDRM tidak akan berkomporomi dalam memastikan keamanan negara sentiasa terpelihara.
“Jangan ingat mereka boleh bergerak sesuka hati dan perlu ingat bahawa kamu semua kena akur dengan undang-undang,” tegasnya lagi.
Berkenaan kes pembunuhan seorang warga Korea Selatan di Genting Highland semalam, Khalid berkata, suspek bunuh telah dikenalpasti pihaknya.
“Suspek juga merupakan rakan senegara mangsa dan polis sudah mengesan kedudukannya dan sedang memburu individu itu.
“Kita sudah bersiap sedia di semua pintu masuk negara untuk tangkap suspek sekiranya dia cuba keluar.
“Siasatan awal mendapati ia berkaitan hutang berjudi yang mana suspek dipercayai memberi wang kepada mangsa yang pergi berjudi di sana tetapi gagal membayar balik wang,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette