Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika hadir pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Terima/Serah Tugas Jawatan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 OGOS 2017
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan terhadap penganjur Forum Nothing to Hide 2.0 kerana melanggar undang-undang Akta perhimpunan Aman 2012 (APA 2012).
Berikutan insiden itu, seramai 13 orang telah ditahan disyaki bertanggungjawab mencetuskan rusuhan dalam forum yang dianjurkan di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam pada Ahad lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, penganjur bertanggungjawab menjaga keselamatan orang ramai hadir ke program itu didapati gagal memastikan program itu terkawal sehingga tercetus kekecohan.
Katanya, pihaknya telah memulakan siasatan selepas laporan polis dibuat berhubung insiden itu dalam forum anjuran Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang didakwa pemimpin nombor dua PKR telah didalangi oleh UMNO.
“Saya tidak mahu komen kenyataan dia (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali)  itu yang bersifat tuduhan politik tapi sehingga pagi ini, polis berjaya menahan 13 orang individu disyaki mencetuskan kekecohan pada program itu.
“Kita akan menjalankan siasatan dan tindakan mengikut undang-undang yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pemakaian pangkat kepada Pegawai Kanan PDRM di Mess Pegawai Kanan, Bukit Aman di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Khalid mengesahkan penganjur program Nothing to Hide juga akan berdepan tindakan tegas kerana melanggar Akta APA 2012.
Katanya, sepatutnya penganjur tidak boleh menyalahkan polis gagal menjaga keselamatan memandangkan polis tidak dijemput ke majlis itu tetapi hanya mengawal keadaan di luar dewan sahaja.
“Penganjur sebenarnya bertanggungjawab dan gagal memelihara keselamatan semasa program sehingga berlakunya kekecohan. Dia sepatutnya mengawal dan memeriksa apa yang dilarang daripada orang ramai dan apa yang dibenarkan ke forum itu.
“Yang pasti penganjur akan diambil tindakan tegas kerana tidak mematuhi peraturan dan jangan anggap dia boleh terlepas begitu sahaja, buat masa sekarang kita fokus yang ditahan kerana melakukan kekecohan di situ.
“Seksyen 25 dalam APA 2012 jelas menyebut 10 syarat yang perlu dipatuhi penganjur sesebuah himpunan demi keselamatan semua pihak, baca dan patuhinya, kalau tak faham jumpa kami untuk mendapat mesej jelas,” ujarnya lagi.
Ditanya mengenai rancangan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos yang mahu mengadakan Nothing to Hide 3, Khalid menjelaskan,  apa jua program melibatkan orang awam di tempat awam perlu mematuhi APA 2012 yang ditetapkan kerajaan.- MalaysiaGazette