Chua Tee Yong

KUALA LUMPUR – Proton telah mengeluar dan memasarkan lebih 4.2 juta unit kereta sejak ditubuhkan pada 1983, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong.

Beliau berkata, dari jumlah itu, hampir 10 peratus telah dieksport ke pasaran antarabangsa, manakala 90 peratus lagi untuk pasaran domestik.

Katanya, antara negara pengimport utama kereta Proton sejak 1983 ialah Chile, Indonesia, Brunei, Australia, Bangladesh, Qatar dan Mesir.

Menurut beliau, bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, jualan dalam negeri kereta Proton sebanyak 45,347 unit, manakala 157 unit dieksport.

“Bagi tahun 2016 pula, jualan keseluruhan yang dicatatkan pada tahun sama ialah 72,621 unit. Daripada jumlah itu, Proton telah memasarkan sebanyak 72,291 unit atau 99.4 peratus bagi pasaran dalam negeri, sementara 330 unit lagi telah dieksport ke pasaran antarabangsa.

“Penjualan tahun itu (2016) juga mencatatkan penurunan sebanyak 29 peratus berbanding tahun sebelumnya. Dalam carta penjualan kenderaan, Proton menduduki tempat ketiga selepas Perodua dan Honda pada tahun yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Datuk Yahaya Mat Ghani di Dewan Negara semalam, yang meminta kerajaan menyatakan prestasi pengeluaran Proton dan pemasaran dalam negeri dan eksport serta impak kerjasama Ptoron-Geely Automobile Holdings Ltd terhadap kesan ekonomi negara.

Mengulas lanjut, Tee Yong berkata, mengikut DRB Hicom, syarikat Geely dipilih berdasarkan tawaran yang menguntungkan Proton termasuk dari segi kesesuaian strategi, operasi dan kewangan serta budaya kerja.

Beliau turut menjelaskan antara impak utama hasil daripada perkongsian strategik kepada ekonomi Malaysia serta Proton khususnya termasuk, perkongsian model dan platform daripada Geely.

“Kedua-dua pihak akan berkongsi sumber untuk membangunkan produk baharu. Ini merangkumi elemen teknologi serta aktiviti Pembangunan dan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) termasuk dari segi proses pembuatan produk itu sendiri.

“Selain itu, platform pertama yang dikongsi Geely akan menjadi model SUV pertama Proton, membantu Proton menjalankan operasi domestik lebih besar yang membawa kepada skala ekonomi lebih berdaya maju, berpeluang untuk memperluaskan pasaran dengan menembusi pasaran sedia ada Geely di China, rantau ASEAN, Timur Tengah dan Afrika Utara bagi membolehkan Proton meningkatkan jualan kepada 500,000 unit setahun.

“Impak seterusnya ialah menjadikan Proton sebagai hab pembuatan model Geely bagi pemanduan sebelah kanan dan pusat R&D Proton akan diiktiraf sebagai salah satu pusat kecemerlangan global oleh Geely,” katanya.

Beliau turut menyatakan, pekerja dan jurutera Proton berpeluang meningkatkan pembangunan modal insan melalui program pertukaran bakat melibatkan pusat reka bentuk dan R&D kumpulan Geely di California, Shanghai, Barcelona dan Gothenburg serta memberikan kerjasama dalam pemindahan operasi perkilangan ke Tanjung Malim dalam tempoh lima tahun. – MalaysiaGazette